Gempar !!! Sumber Dap dedah akar umbi PH sokong langkah Anwar kerjasama dengan Umno

Gempar !!! Sumber Dap dedah akar umbi PH sokong langkah Anwar kerjasama dengan Umno

Akar umbi parti komponen Pakatan Harapan (PH) menyokong usaha menjalin kerjasama blok pembangkang itu dengan Umno sebelum atau selepas pilihan raya umum, malah mendesak pemimpin parti masing-masing untuk melakukannya.

Sumber DAP mendedahkan, kebanyakan ahli parti itu menyambut baik perbincangan awal PKR dan Umno, malah mahu kerjasama itu diperluaskan kepada PH bagi membolehkan pembentukan kerajaan majoriti.

Malah, kebanyakan pemimpin negeri yang menyokong idea itu dijangka memenangi pemilihan parti yang sedang berlangsung ketika ini.

“Kami meramalkan semua pemimpin DAP yang menyokong kerjasama dengan Umno dan PKR akan menang pemilihan parti,” katanya kepada FMT.

“Inilah apa yang akar umbi rasakan ketika ini.”

Sementara itu, sumber PKR berkata rata-rata Ahli Parlimen setala dengan pandangan masyarakat yang mahu semua parti politik ketepikan perbezaan dan berganding bahu.

“Banyak Ahli Parlimen daripada pelbagai parti merasakan perlu bersatu untuk menentang pentadbiran yang semakin keterlaluan,” kata sumber itu yang juga seorang Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Rahman Dahlan, berkata parti Melayu itu dan Barisan Nasional terbuka kepada idea kerjasama dengan mana-mana pihak.

“Sudah tentu (kerjasama itu) tertakluk kepada parti lain harus terima wawasan Umno dan tidak menjejaskan kepentingan kami,” katanya.

Bagaimanapun, Rahman berkata sebarang kerjasama Umno dengan parti lain mungkin berlaku hanya selepas pilihan raya.

“Zaman bekerjasama sebelum pilihan raya sudah berlalu. Sebarang kerjasama mungkin berlaku selepas pilihan raya, seperti mana di negara lain,” katanya.

Rahman percaya Umno dan BN akan muncul sebagai gabungan dengan kerusi terbanyak selepas PRU15.

“Kita tengoklah apa akan jadi selepas itu.”

Namun, beliau berkata sebagai parti yang besar, Umno harus terbuka untuk berbincang dengan parti lain.

“Kita ada daya penarik. Tiada orang mahu bercakap dengan kamu kalau kamu lemah,” katanya.

Seorang lagi pemimpin Umno berkata idea kerjasama dengan PKR mula dilontar pada hujung tahun lalu, tetapi ia “dibincangkan secara serius sebulan lepas.”

“Ya memang ada beberapa perbincangan sedang berjalan tapi belum ada keputusan muktamad,” kata sumber itu kepada FMT.

Sumber berkata kerjasama Umno-PH itu berupaya membuahkan sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Perbincangan semakin rancak,” katanya.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam temubual dengan Utusan Malaysia mengesahkan beberapa pertemuan tidak rasmi diadakan dengan pemimpin Umno, dengan hasrat “untuk membentuk kerajaan baharu”.

Anwar berkata, hasilnya “positif” namun menegaskan sebarang kerjasama bergantung kepada kesanggupan parti Melayu itu untuk menjalin kerjasama berteraskan “idealisme.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/15/makin-ramai-ahli-ph-sokong-langkah-anwar-bekerjasama-dengan-umno/