Pakatan antara Umno-Dap bakal terbina.Keputusan MCA untuk berpihak kepada Bersatu dengan menyokong kerajaan semasa akan menyebabkannya tidak lagi sehaluan dengan rakan seperjuangan tradisinya, Umno, menurut seorang ahli sains politik.
Penganalisis Wong Chin Huat berkata, pakatan Umno-MCA hampir runtuh selepas pilihan raya umum 2018, ketika gabungan Barisan Nasional kehilangan kuasa.
Kini, keputusan MCA memilih untuk berpihak kepada Bersatu berbanding Umno hanya akan mengakhiri hubungan MCA-Umno lebih awal dan secara rasmi, katanya.
Presiden MCA Wee Ka Siong adalah antara sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), dikatakan seramai 31 orang, yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin.
Pengisytiharan sokongan ini dibuat susulan keputusan Umno minggu lalu untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN.
Wee semalam berkata, parti itu akan berpegang kepada keputusan BN tahun lalu untuk menyokong kerajaan PN.
Katanya, kemerosotan berterusan MCA dalam kalangan masyarakat Cina sejak 2008 menjadikan parti itu semakin tidak relevan buat Umno, namun pada masa yang sama, MCA menjadi lebih bergantung kepada Umno.
Dalam pada itu, BN secara efektif hanya tinggal sebagai Umno, terutamanya di Semenanjung, selepas gabungan itu jatuh pada 2018.
Wong berkata, Umno mungkin akan menuntut banyak kerusi campuran daripada MCA pada pilihan raya akan datang (PRU15) untuk menambah kerusinya sendiri.
Malah, katanya, pakatan antara Umno dan DAP mungkin terbina selepas PRU15 setelah Umno menyedari dominasi DAP dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
“Jika bilangan kerusi tepat, dan perjanjian pembahagian kuasa sesuai, Umno akan bekerjasama dengan DAP atau keseluruhan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15. Itu jelas bagi pemimpin Umno daripada peringkat kebangsaan sehingga peringkat bahagian,” katanya.
Pada Mac, FMT melaporkan bahawa para pemimpin PH menyokong kemungkinan keputusan untuk bekerjasama dengan Umno sebelum dan selepas PRU15, dengan berkata, ahli parti itu “menggesa” mereka untuk melakukannya.
Bagaimanapun, veteran MCA Yap Pian Hon, yang sebelum ini menyatakan bahawa parti itu tiada pilihan selain terus menyokong kerajaan, berkata beliau ragu-ragu Umno akan memutuskan hubungan dengan partinya.
Tiada parti yang boleh bertahan dengan sokongan hanya satu komuniti, katanya, dan ini terpakai buat dua-dua belah pihak, walaupun bekerjasama dengan MCA, berbanding DAP, lebih mudah buat Umno.
Yap berkata, Umno selama ini melabel DAP sebagai “anti-Melayu”.
“Bukan mudah untuk mengubah pemikiran seperti ini. Lebih mudah bekerjasama dengan MCA. Kami sudah menjadi satu pasukan sejak 60 tahun lalu,” tambahnya.
Bagaimanapun, persoalan yang lebih besar, kata Yap, terutamanya berhubung sokongan orang Cina terhadap gabungan itu, adalah bagaimana komuniti berkenaan akan mengundi dalam PRU15.
“Ada yang tak akan peduli pun (untuk mengundi).”
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/09/dengan-mca-sokong-bersatu-pakatan-umno-dap-mungkin-terbina/