Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad meletakkan jawatannya hari ini dan mengadakan majlis perpisahan di pejabat beliau.
Peletakan ini merupakan yang kedua selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah pada 3 Ogos mengumumkan peletakan jawatannya serta merta dari terus menyertai jemaah Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kedua-dua tindakan tersebut berkait dengan pendirian Umno yang bertegas untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan menyokong Perikatan Nasional (PN) mahupun Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, respon Mahiaddin terhadap rasa dukacita yang dizahirkan Agong, menyerlahkan kekhilafan Mahiaddin yang jelas telah menyanggah titah Agong agar Ordinan Darurat dibahas di Parlimen.
Zahid juga memaklumkan telah mempersembah surat akuan dari Ahli-ahli Parlimen Umno yang bersetuju menarik sokongan dari kerajaan PN dan Mahiaddin.
Bagaimanapun ketika ini blok kerajaan mendakwa mereka masih mempunyai sokongan majoriti biarpun 11 Ahli Parlimen Umno telah menarik sokongan mereka.
Kerajaan mendakwa masih mempunyai 31 sokongan Ahli Parlimen Umno, bagaimanapun dinafikan oleh Tan Sri Noh Omar yang mendakwa beliau tidak penah menyatakan sokongannya terhadap PN.
Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/noraini-letak-jawatan-buat-majlis-perpisahan-di-kementerian/