Gempar !!! Dr Noor Hisham disuruh letak jawatan?

SURAT TERBUKA

4 Februari 2021

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia
Putrajaya

Assalamualaikum warahmatullah.

Yang Berbahagia Tan Sri,

Cadangan Untuk Yang Berbahagia Tan Sri Noor Hisham Meletak Jawatan Sebagai Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia

Memandangkan keadaan wabak Covid-19 dan ekonomi negara adalah pada tahap yang luar kawalan, dan tiada strategi dan langkah berkesan yang dapat kerajaan laksanakan, maka dengan dukacitanya saya ingin mencadangkan untuk Yang Berbahagia Tan Sri meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah KKM kerana telah gagal untuk mengawal wabak ini.

Cadangan ini tertimbul kerana tiada pemerintah negara yang lain merasa bersalah terhadap apa yang berlaku di Negara ini, kerana kebanyakan mereka tidak bermoral atau pun bernaluri untuk meletakkan jawatan apabila telah mentadbir dengan cuai dan membuat keputusan yang memudaratkan Negara.

Sudah tentu dengan perasaan tidak malu Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan meletak jawatan. Sudah tentu Menteri-menteri yang tidak berguna dan lebih menyusahkan Negara, seperti Menteri kementerian Tan Sri sendiri, Adham Baba, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, Menteri Pendidikan yang sekadar boneka dan melumpuhkan pendidikan Negara, Radzi Jidin, dan yang sewaktu dengannya, terlalu tebal muka untuk meletakkan jawatan.

Sudah tentu Menteri Kewangan tidak akan meletakkan jawatan, pada ketika kutipan kewangan Negara adalah pada kadar yang terendah, sehingga memaksakan LHDN untuk sengaja mendenda rakyat untuk mendapat kutipan lebih. Sudah tentu Tan Sri Musa Aman, yang telah dilepaskan daripada sebarang dakwaan mahkamah tidak akan dipertanggung jawabkan sebagai pencetus pilihanraya di Sabah yang menyebabkan kadar kes Covid19 mencanak naik, dan kesannya PKP 2.0 merugikan berbilion setiap hari, sekaligus memusnahkan ekonomi Negara, malah, beliau akan diberikan kedudukan TYT Sabah yang akan datang pula oleh Perdana Menteri sebagai ganjaran.

Oleh kerana negara ini dalam keadaan auto-pilot tanpa tujuan, maka seelok-eloknya Tan Sri meletakkan jawatan, kerana saya percaya Tan Sri masih mempunyai hati nurani, dan masih merasa bersalah dan bertanggung jawab terhadap krisis yang berlaku. Tidak salah untuk kita mengaku salah kerana keberanian untuk menyatakan apa yang benar adalah tuntutan Allah.

Lagi pun, saya berpendapat Tan Sri sendiri tidak mahu bersekongkol dengan pentadbiran yang berlaku zalim kepada rakyat, dan sudah tentu mencemarkan nama baik Tan Sri sebagai wirawan Malaysia.

Saya harap Yang Berbahagia Tan Sri dapat memberi pertimbangan serius terhadap cadangan saya ini, demi kebaikan rakyat dan negara tercinta kita.  – MD

Terlebih dahulu, terima kasih saya ucapkan.

Yang Ikhlas,

Siti Maslinda binti Sheikh Sulaiman
Shah Alam