Gempa bumi lemah bermagnitud 2.7 pada skala Richter telah dikesan berlaku di kawasan Tawau pada jam 4.54 pagi hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pusat gempa tersebut terletak pada koordinat 4.5 darjah utara
Dan 118.1 darjah timur, dengan kedalaman 10 kilometer (km). Lokasinya adalah sekitar 17 km dari pusat bandar Tawau.
“Gegaran dirasai di sekitar kawasan Tawau,” kata kenyataan itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan bahawa tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan akibat gempa bumi tersebut.
Di Tawau, seorang peniaga bernama Anna Benjamin, 63, berkongsi bahawa gegaran tersebut dirasai oleh keluarganya yang berada di kawasan Tanjung Batu Laut semasa waktu subuh.
“Gegaran tidak lama, mungkin sekitar lima saat sahaja. Kami periksa, tiada apa-apa yang rosak. Doakan keselamatan kami di Tawau,” katanya.
Pemilik kedai makan, Asmah Anit, 48, turut merasakan gegaran tersebut selama kira-kira lima saat di rumahnya di Taman Ria Height.
“Rumah saya terletak di kawasan atas bukit, jadi terasa juga gegaran waktu subuh tadi. Anak saya pun perasan perkara yang sama,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pekerja am, Mohd Izhan Hassan, 32, berkata dia merasakan gegaran selama dua hingga tiga saat ketika berada di kawasan Kolej Vokasional Tawau pada waktu yang sama.