Gambar Sadio Mane tak pegang arak dipuji. Bintang bola sepak Senegal, Sadio Mane dilihat menolak daripada memegang bir bagi menghormati agamanya sewaktu bergambar bersama rakan sepasukannya, Bayern Munich baru-baru ini, lapor Daily Mail.
Seperti yang diketahui, bekas pemain sayap Liverpool itu merupakan seorang pemain bola sepak Muslim. Oleh hal yang demikian, beliau menolak untuk memegang botol minuman keras berkenaan.
Menerusi foto yang dimuat naik oleh ESPN FC di platform Twitter baru-baru ini, ia jelas memaparkan pemain dari Senegal itu langsung tidak memegang walau segelas bir.
As a devoted Muslim, Sadio Mane chose not to hold a beer in Bayern Munich’s traditional photoshoot 🍻 pic.twitter.com/PAnQqF9I4I
— ESPN FC (@ESPNFC) August 29, 2022
“Sebagai seorang Muslim yang taat, Sadio Mane memilih untuk tidak memegang bir sewaktu bergambar dalam acara tradisional Bayern Munich,” maklum ESPN FC di Twitter.
Walaupun dilhat berbeza berbanding rakan pasukannya yang lain, namun Mane berada di barisan paling hadapan pada hujung kanan gambar dengan berpakaian Lederhosen.
Perbuatan Mane itu mendapat reaksi positif dan pujian daripada peminat di media sosial kerana beliau masih berpegang teguh dengan ajaran agamanya.
Selain Mane, seorang lagi pemain Bayern yang berpindah dari Ajax, Noussair Mazraoui juga memilih untuk bergambar tanpa memegang gelas minuman keras tersebut.
Imbas kembali, Mane sebelum ini juga pernah bertindak sedemikian apabila beliau meminta rakannya, Takumi Minamino untuk meletakkan sebotol Champagne pada awal tahun ini.
Mane melakukan sedemikian sewaktu mereka meraikan kemenangan dalam perlawanan akhir Piala Carabao, iaitu semasa Liverpool menentang Chelsea yang membawa keputusan seri 0-0.
Minamino yang menghormati permintaan rakannya itu segera meletakkan botol arak tersebut ketika meraikan kejayaan mereka selepas Liverpool menewaskan Chelsea menerusi sepakan penalti 11-10.
Dari sudut padang, perpindahan Mane dan Mazraoui memberi impak positif kepada Bayern Munich selepas pasukan itu mengutip 10 mata daripada empat perlawanan awal liga musim ini.
Kini pasukan gergasi Jerman itu berada di puncak carta Bundesliga, disusuli Union Berlin dengan 10 mata serta SC Freiburg, Hoffeinheim dan Borussia Dortmund yang masing-masing berkongsi sembilan mata.
Bawa sejadah dalam bilik persalinan
Terdahulu, Mane juga pernah dilihat memegang sejadah di dalam bilik persalinan dipercayai sedang bersiap untuk menunaikan solat selepas tamat perlawanan dan memenangi Piala Carabao enam bulan lalu.
Seperti yang dilapor Siakap Keli sebelum ini, Mane ketika itu juga dilihat sudah menukar pakaian dan mengenakan seluar panjang, berbanding pemain-pemain lain yang masih lagi mengenakan jersi utama kelab.
Kelibat Mane itu kelihatan di dalam sebuah gambar bersama tiga penjaga gol Liverpool dan ia pantas menjadi viral di media sosial.
Sebagai seorang Muslim yang taat, pemain itu dikatakan banyak terlepas acara sambutan yang dibuat oleh pasukan untuk menyambut kejayaan mereka sementara dia menunaikan solat.
Malah, para peminat turut perasan bahawa Mane hampir tidak kelihatan dalam meraikan kejayaan Piala Carabao tersebut, kecuali ketika di atas padang ketika itu.
BACA:
Lagi kes hilang duit dalam bank, RM12,000 tiba-tiba lesap!
Kerajaan umum bantuan RM700 untuk rakyat Malaysia, ini butiranya
Botol penuh berisi udara dijual dengan harga RM22, “ramai pulak yang beli..”