Gagasan Rahmatan Lil Alamin Yang Disalahertikan

Sejak kerajaan Pakatan Harapan menjadikan pendekatan Rahmatan Lil Alamin (Rahmah untuk semua) sebagai salah satu gagasan pentadbiran kerajaan di samping Maqasid Syariah dan Model Malaysia, serangan-serangan politik keagamaan sengaja dilancarkan dengan agresif oleh pembangkang. Hal ini kelihatan terpaksa dilakukan mereka kerana selama ini mereka mahu rakyat hanya mengenali mereka sebagai pejuang Islam dan selain mereka adalah kononnya pejuang sekular, liberal dan plural. Jadi mahu tidak mahu, mereka terpaksa mengerahkan tenaga dan daya termampu mereka demi menafikan kesungguhan kerajaan memartabatkan Islam. Jika usaha itu tidak dilaksanakan, nescaya riwayat hidup mereka menuju kematian pada PRU akan datang.

Usaha mereka yang terkini ialah melalui penampilan Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahya (Aminuddin) dalam slot Analisis TV al-Hijrah pada malam 10 Mei 2019 yang digandingkan dengan seorang pendakwah Ustaz Wan Ji Wan Hussin dalam forum bertajuk “Islam dibuli di bawah PH?” (rakaman boleh ditonton di laman Youtube)

Menggunakan setiap ruang untuk memperlecehkan usaha kerajaan dalam memperkasakan Islam bahkan menafikan perkara yang benar di balik selang-seli dakwaan berpegang kepada fakta adalah satu kepintaran Aminuddin yang harus diberikan pujian.

Sebenarnya banyak sekali yang diucapkan Aminuddin sebagai fakta itu sebenarnya bukan fakta (sepatutnya disebut: auta). Contohnya dua kali beliau sebut ramai pegawai penguatkuasa yang beliau temui sudah takut untuk menguatkuasakan undang-undang mencegah kemungkaran sejak Menteri Agama bercakap tentang ruang peribadi (private sphere) dan ruang awam (public sphere). Siapa, di mana, berapa orang penguatkuasa itu tidak dinyatakan.

Beliau juga mendakwa sejak kerajaan PH memerintah, tempat-tempat maksiat tidak diganggu (dicegah) lagi. Ini semua adalah dakwan palsu yang sedikit pun tidak menjadi fakta. Ia telah dijawab dengan baik oleh Ustaz Wan Ji dengan fakta bilangan ‘raid’ yang dilakukan penguatkuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak Kementerian Wilayah dipegang oleh YB Khalid Samad, termasuk ‘raid’ yang dilakukan terhadap kelab gay Blueboy yang tidak pernah diganggu sejak 30 tahun.

Namun dalam tulisan ini saya tidak ingin mengulas semua dakwaan songsang Aminuddin. Sebaliknya saya ingin fokus membahaskan dakwaannya bahawa gagasan Rahmatan Lil Alamin  adalah satu usaha untuk memesongkan makna rahmah yang sebenar.

Beliau mendakwa (bermula minit ke 18 dalam rakaman) inisiatif rahmah yang dibawa kerajaan adalah interpretasi yang tidak betul dan berasaskan kepada konsep yang salah. Pada beliau rahmah yang Islam bawa hanyalah untuk agama (orang) Islam, tidak termasuk orang bukan Islam. Rahmah kepada orang bukan Islam hanyalah dalam bentuk kelewatan menerima hukuman daripada Tuhan.
Beliau juga berhujah bukti rahmah yang dibawa kerajaan itu tidak betul dan salah ialah berdasarkan dakwaannya Menteri Agama tidak lagi menterjemahkan perkataan ‘masajid’ dalam al-Quran sebagai masjid, sebaliknya sudah keluar terma baru iaitu ‘rumah ibadat’. Ia membawa kepada elemen pluralisme dalam agama, menurut beliau.

Selain itu, hujah beliau rahmah yang dibawa kerajaan sebagai salah ialah tindakan Menteri Agama ‘melayan’ golongan LGBT. Menurutnya dalam Islam  ada hukuman dan ada hukum hudud, bukan ajakan menjadi baik sahaja.

Di sini kita wajar berhenti seketika untuk melihat dengan objektif dakwaan Aminuddin kononnya konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa kerajaan terpesong.

Pertama sekali, seseorang yang ingin membuat tafsiran kepada ayat al-Quran hendaklah mempunyai kelayakan dari segi tahap penguasaan bahasa teks asal ayat itu iaitu bahasa Arab. Tafsiran al-Quran juga tidak boleh berdasarkan satu ayat sahaja, sebaliknya mesti menghimpunkan ayat-ayat yang semakna dan juga hadis-hadis yang menerangkan perincian ayat-ayat berkenaan. Di sini Aminuddin telah memasuki satu daerah yang asing baginya, iaitu daerah pengkhususan para Mufassirun (ahli tafsir) sedangkan beliau tiada kelayakan.

Setakat rujukan saya terhadap tafsiran ayat 107 Surah al-Anbiyaa (yang bermaksud: “Tidaklah Aku –Allah- mengutuskan engkau –Muhammad- melainkan untuk memberi rahmah kepada sekalian alam”), ulama tafsir sepakat mentafsirkan Rahmatan Lil Alamin itu sebagai rahmah untuk semua, seluruh alam termasuk manusia dan jin di dunia dan di akhirat.

Hal ini boleh dirujuk kepada al-Zamakhsyari (meninggal 1144M) dalam kitab tafsirnya bernama al-Kasyaf ‘an Haqaiq al-Tanzil wa ‘Uyun al-Aqawil fi Wujuh al-Ta’wil (3/22-23 – Dar ‘Alam al-Ma’rifah, Beirut), al-Qurtubi (meninggal 1273M) dalam kitabnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (7/4390 – Dar al-Rayyan li al-Turath, Kaherah), al-Hafidz Ibn Kathir (meninggal 1394M) dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-‘Adzim (5/380 – Dar al-Sya’b, Kaherah), Syeikh Jamaluddin al-Qasimi (meninggal 1935M) dalam kitabnya Tafsir al-Qasimi atau Mahasin al-Ta’wil (11/297-298 – Dar al-Fikr, Beirut), Syed Qutb (meninggal 1966M) dalam kitabnya Fi Dzilal al-Quran (4/2401 – Dar al-Syuruq, Beirut) dan terkini Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaily (meninggal 2015) dalam kitabnya Tafsir al-Munir (17/44 – Dar al-Fikr al-Mu’asir, Beirut)

Syeikh Rasyid Redha (meninggal 1935) pula berkata dalam kitabnya  ketika mentafsirkan ayat 156 Surah al-A’raf yang bermaksud “Dan rahmahKu meliputi segala perkara…”: “Iaitu di antara bukti rahmahKu (Allah) mendahului murkaKu ialah Aku menjadikan azabKu hanyalah khusus untuk sesiapa yang Aku ingini dari kalangan orang kafir, ahli maksiat dan penjahat sahaja. Adapun rahmahKu, maka ia merangkumi setiap perkara seluruh alam, ia adalah sifatKu yang azali semenjak Aku menciptakan alam. Azab pula bukanlah sifatKu, sebaliknya ia cuma satu perbuatan Aku yang datang menuruti sifat adilKu… Inilah dia rahmah yang merupakan rahmah yang umum melimpahi segala makhluk. Kalau tidak kerananya, sudah tentu setiap yang kafir dan melakukan maksiat akan hancur sebaik sahaja kekufuran dan kemaksiatannya…” (Tafsir al-Manar: 9/222 –Dar al-Fikr, Beirut)   
Tidak dinafikan bahawa al-Qurtubi ada menyatakan bahawa Ibn Zaid berkata maksud al-‘Alamin itu ialah orang-orang beriman secara khusus. Namun pendapat ini adalah syaz (janggal, terpencil) dari segi bahasa dan perbandingan dengan pendapat para mufassirin yang lain. Pendapat yang syaz wajib ditolak seperti pendapat yang mentafsirkan keharusan poligami dengan sembilan orang wanita serentak berdasarkan tafsiran songsang terhadap ayat 3 Surah al-Nisaa.

Bahkan al-Hafidz Ibn Kathir ketika menghuraikan tafsiran ayat 107 al-Anbiyaa itu beliau membawa hadis Rasulullah SAW diminta supaya mendoakan laknat dan kemusnahan ke atas orang-orang musyrikin. Baginda menjawab: “Aku tidak diutuskan untuk mendoakan laknat, sebaliknya aku diutuskan sebagai rahmah (Riwayat Muslim). Dalam hadis lain baginda bersabda: “Aku hanyalah rahmah yang dihadiahkan (untuk manusia seluruhnya)” (Riwayat al-Bukhari)

Sebenarnya ajaran rahmah untuk semua itu meliputi seluruh alam, seluruh manusia dan seluruh ciptaan Allah SWT bukanlah berdasarkan satu ayat 107 Surah al-Anbiya itu sahaja. Sebaliknya ia adalah konsep atau kefahaman yang lahir daripada himpunan seluruh ayat berkaitan rahmah yang umum iaitu surah al-A’raf: 156 dan 158, Ghafir: 7, al-Rahman: 10, al-Mumtahanah: 8 dan 9, Saba’: 28, al-Furqan: 1, Yusuf: 104 dan lain-lain lagi. Bahkan dalam Surah al-Fatihah itu dengan jelas memberitahu kita bahawa Allah itu Tuhan untuk sekalian alam (Rabb al-‘Alamin), bukan Tuhan untuk orang Islam sahaja.

Dari segi praktik Rasulullah SAW terhadap ajaran rahmah itu pula terdapat riwayat hadis sahih yang banyak. Di antaranya hadis: “Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah). Para Sahabah berkata: Wahai utusan Allah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah kepada semua” (Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 dan dinilai Hasan oleh al-Albaniy dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib no. 2253)

Rahmah Islam juga meliputi rahmah kepada manusia yang telah mati walaupun mati dalam beragama lain. Suatu hari satu jenazah telah dibawa  lalu di depan Rasulullah SAW. Baginda bangun berdiri sebagai penghormatan, lalu diberitahu kepada baginda bahawa itu adalah jenazah Yahudi. Baginda bertanya: Bukankah dia juga seorang manusia?” (Riwayat al-Bukhari 1312 dan  Muslim 2181)

Berbeza dengan konsep yang difahami Aminuddin terhadap ahli maksiat kononnya Islam agama yang punitive dan mudah menjatuhkan hukuman, diriwayatkan bahawa al-Zubayr bin al-’Awwam menemui seorang lelaki yang telah menangkap seorang pencuri dan dia hendak membawa si pencuri itu kepada pihak berkuasa. Al-Zubayr telah cuba memujuknya supaya melepaskan si pencuri itu.
Tetapi lelaki itu enggan melepaskan hingga dia sampai ke pihak berkuasa. Lalu al-Zubayr berkata: “Kemaafan hanya boleh diberikan sebelum kes sampai kepada pihak berkuasa. Apabila ia sampai kepada pihak berkuasa, orang yang memujuk dan orang dipujuk (supaya tidak melaksanakan hukuman) adalah dilaknat.” (al-Syaukani, Nayl al-Awtor 7/311 dengan sanad Hasan)

Dalam akhlak pula, Islam tidak membezakan akhlak berkata-kata sesama orang Islam dan akhlak kepada orang bukan Islam. Bahkan al-Quran memerintahkan supaya umat Islam mengeluarkan kata-kata yang baik kepada seluruh manusia (Surah al-Baqarah: 83)

Aminuddin juga kecundang apabila beliau mendakwa Menteri Agama telah melakukan kesalahan menterjemah perkataan ‘masajid’ dalam al-Quran (Surah al-Baqarah: 114) sebagai ‘rumah ibadat’ dan ia menjadi bukti kononnya Menteri Agama cuba menanamkan elemen pluralisme melalui gagasan Rahmatan Lil Alamin. Kecundangan Aminuddin berlaku kerana kedangkalannya dalam ilmu tafsir al-Quran, kerana beliau bukan ahlinya. Sebenarnya maksud ‘rumah ibadat’ yang diberikan kepada ‘masajid’ dalam ayat itu bukanlah terjemahan Menteri Agama, sebaliknya ia adalah tafsiran yang dibawakan oleh Muhammad Asad (meninggal 1992) dalam karyanya Message of Quran sebagai ‘His houses of worship’. Muhammad Marmaduke Pickthall (meninggal 1936) pula mentafsirkannya  sebagai “The sanctuaries of Allah”. Tafsiran ‘rumah ibadat’ bagi ‘masajid Allah’ ini adalah berdasarkan prinsip Islam menghormati semua rumah ibadat semua agama walaupun ketika perang. Ini berdasarkan keluasan tafsiran ayat no. 40 Surah al-Hajj. Perkataan ‘masjid’ itu pula secara bahasanya bermaksud tempat sujud, iaitu tempat manusia beribadat kepada Tuhannya. Jadi semangat mempertahankan rumah ibadat yang dibawa oleh Islam bukanlah terhad kepada rumah ibadat umat Islam yang bergelar masjid itu sahaja, tetapi meliputi seluruh rumah ibadat bagi semua agama hatta ketika waktu berlaku peperangan. Ia tiada kena mengena dengan faham pluralisme jika seseorang itu jelas kefahamannya tentang prinsip Islam berdasarkan sirah atau sejarah Rasulullah SAW mempraktikkannya.

Kemaafan yang diberikan Rasulullah SAW kepada orang Taif yang menghalau, memburu dan memukul baginda dengan balasan doa supaya mereka diampunkan dan diberi hidayat adalah praktik yang agung terhadap ajaran Rahmatan Lil Alamin. Orang Taif bukan setakat kafir, bahkan mereka adalah kafir yang menghina dan telah mencederakan Nabi SAW secara fizikal. Namun tawaran malaikat untuk memusnahkan orang Taif ditolak oleh baginda, dengan doa supaya keturunan orang Taif akan beriman dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Jadi di mana ajaran Rahmatan Lil Alamin hanya untuk orang Islam sahaja?

Ketika pembukaan semula Kota Makkah pada tahun ke 8 Hijrah, orang-orang musyrikin Makkah yang telah menyerah kalah tidak dibalas sedikit pun. Sedangkan mereka dulu telah menghina Nabi SAW, menyiksa, mendera, menghalau para Sahabah baginda dan merampas rumah, harta benda dan kebun. Tetapi setelah kemenangan Islam, orang-orang musyrikin itu tidak dibalas dendam sedikit pun, sebaliknya Rasulullah SAW memaafkan mereka dan membebaskan mereka semua tanpa paksaan agar masuk Islam pun. Maka kerana kemaafan dan toleransi yang diamalkan baginda itu menyebabkan mereka semua masuk Islam beramai-ramai akhirnya sebagaimana dirakam oleh Surah al-Nasr.  Sekali lagi, di mana ajaran Rahmatan Lil Alamin hanya untuk orang Islam sahaja?

Kesimpulannya, gagasan Rahmatan Lil Alamin yang dibawa oleh kerajaan adalah bersumberkan maksud ajaran Islam yang sebenar dalam al-Quran, Sunnah dan amalan para Sahabah. Perasaan terancam oleh sesetengah orang Islam seperti Aminuddin tidak mempunyai asas yang kukuh. Ia hanyalah persepsi akibat daripada kedangkalannya dalam memahami prinsip Rahmatan Lil Alamin lalu disalahertikan sebagai hanya rahmah untuk orang Islam sahaja.

Ustaz Ali Muda
Pegawai Tugas-Tugas Khas
Menteri di JPM (Agama)

Salak Tinggi, Selangor.
12 Mei 2019