Gadis 18 tahun terselamat setelah bertarung dengan buaya ‘gergasi’.Seorang gadis terselamat selepas diserang buaya walaupun mengalami trauma yang mengerikan.
Amelie Osborn-Smith, 18, sedang berakit di Zambia apabila seekor buaya besar menyerangnya di Sungai Zambezi pada Selasa minggu lalu.
Mirror melaporkan, serangan mengerikan itu berlaku sejurus selepas pemandu pelancong menghentikan aktiviti untuk makan tengah hari.
Menceritakan tragedi hitam dari Hospital Medland, Amelie mengakui trauma dengan kejadian itu.
“Saya sangat bertuah tetapi jangan biarkan kejadian ini melemahkan anda, kerana ia jarang berlaku,” katanya.
Menurutnya, apabila kemalangan itu berlaku, dia menerima sepenuhnya hakikat dia akan kehilangan kakinya.
“Saya memberitahu rakan, saya akan kehilangan kaki tetapi tidak mengapa kerana saya masih hidup,” katanya.
Bapa Amelie yang juga bekas tentera, Brent, 60, berkata, dia bangga dengan anaknya yang melawan reptilia besar itu.
Mengimbas kembali kejadian itu, mereka diberi kebenaran oleh pemandu pelancong untuk berendam di tepi sungai bagi menyejukkan badan dan kawasan itu dianggap selamat.
Semuanya baik-baik saja dan jelas apabila kumpulan itu terjun ke dalam air di hilir air terjun Victoria.
Tetapi, ketika mahu kembali ke bot, buaya itu merentap kaki Amelie.
“Apabila kembali ke bot, Amelie digigit oleh seekor buaya besar dan cuba menyeretnya,” kata Brent kepada The Sun.
Amelie melawan dengan penuh keberanian dan enggan ditundukkan oleh reptilia itu.
Ketika Amelie bermati-matian berjuang untuk mengelakkan dirinya dibaham, pemandu dan pelancong lain meluru membantunya dan memukul reptilia itu.