Fatwa “halal darah”, Ustaz Nasir lapor polis

Saya mendapat panggilan telefon dan wasap bertalu2 berkaitan posting saya pada 30 Mac 2020 yang bertajuk “Pemikiran Politik Takfiri”.

Pelbagai respon saya perolehi dan saya agak sibuk dengan aktiviti peribadi sepanjang hari kelmarin. Saya mohon maaf kerana gagal respon panggilan atau membalas mesej what’s up.

Setelah meneliti pandangan pimpinan termasuk Naib Presiden Parti Amanah Negara YB Dato Mahfuz Omar dan Pengerusi Parti Amanah Negeri Kedah YB Datuk Phahrolrazi Zawawi, saya menghubungi peguam Parti Amanah Negara, Negeri Kedah Saudara Hasani Hashim.

Beberapa pertimbangan saya ambil selepas mendapat pandangan pimpinan parti.

1. Budaya Takfiri dan ghuluw (melampau) adalah satu pandangan ganjil dalam negara Malaysia. Ia adalah manifestasi kefahaman Islam yang salah.

2. Parti Amanah Negara adalah sebuah parti yang ditubuhkan secara sah dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Malah Fasal Ketiga Perlembagaannya secara jelas menyebut,

“3.1 Memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan.

3.2 Mendirikan sebuah negara dan masyarakat madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua (Rahmat an Lil ‘alameen)”

3. Seringkali pemimpin Parti Amanah Negara diserang di dalam media sosial dan dalam ceramah dengan label menjengkelkan dengan penggunaan istilah-istilah agama seumpama, munafik, murtad, keluar jamaah Islam, khadam DAP, pengkhianat Islam dan sebagainya. Ia memberi gambaran seolah-olah sesiapa yang menyertai parti ini adalah satu kesalahan besar dari sudut agama.

4. Pemikiran seumpama ini amat merbahaya dan mengancam keselamatan negara dan boleh merosakkan sistem dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

Oleh itu, atas nasihat dan pandangan daripada pimpinan dan rakan, demi kepentingan parti, walaupun ada pandangan sebaliknya, saya membuat laporan polis bagi mengekang pemikiran ini dari merebak.

Bagi saya isu ini bukan isu personal di antara saya dan Ustaz Saufi. Beliau adalah kawan saya. Isu ini adalah berkaitan pemikiran yang ganjil dalam masyarakat dan negara yang mengamalkan demokrasi.

Saya amat berharap laporan polis ini akan menjadikan kita semua lebih berhati-hati dan matang dalam berbeza pandangan dalam isu-isu politik.

Insya Allah saya akan menulis pengalaman saya, keluarga saya, rakan dan masyarakat saya berkaitan dengan isu Takfiri. Saya juga akan menyentuh pandangan Islam dan bagaimana umat Islam seharusnya berdepan dengan isu ini serta bagaimanakah sikap yang perlu ada dalam meraikan perbezaan pemikiran.

Wallahul musta’an

Mohd Nasir Zakaria