FamilySurvivalkit bantu keluarga terputus bekalan makanan di Sabah

Rata-rata rakyat Sabah sekitar Kota Kinabalu sangat terjejas sepanjang tempoh PKP ini. Umum mengetahui Negeri Sabah mempunyai kepelbagaian penduduk yang begitu rencam dan taraf hidup yang masih rendah.

Masalah yang ada sepanjang fasa PKP adalah keluarga yang bersumberkan pendapatan harian sebelum ini telah terputus. Mereka ini bekerja sebagai buruh kasar, cleaner, pekerja kedai makan, pekerja kedai runcit, mengutip tin dan menjualnya dan pelbagai lagi jenis pekerjaan.

Di kalangan mereka, ada yang hanya memegang passport, tidak mempunyai ic untuk layak mendapat bantuan daripada MPKK dan kerajaan negeri. Apakah pilihan yang mereka ada? Mereka perlu menyuap anak-anak yang kelaparan dan keperluan asas seperti pampers dan susu sangat mendesak.

Sebelum ini mereka mandiri berkerja setiap hari mencari rezeki demi kelangsungan hidup dan demi keluarga, apabila berlakunya PKP dan wabak covid – 19, keadaan ini telah menghalang mereka dan apakah peranan masyarakat dan kerajaan untuk membantu mereka? Mereka juga manusia yang perlu terus hidup.

Justeru, NGO Wanita Impian Negeri Sabah (WINS) dengan kerjasama NGO Muafakat menjalankan usaha gigih untuk membantu keluarga yang terputus bekalan makanan ini di sekitar Kota Kinabalu dengan projek #familysurvivalkit. Kit ini adalah makanan asasi keluarga iaitu beras, telur, minyak masak, gula, teh, bihun, kicap dan tepung.

Sehingga hari ini sebanyak 254 keluarga telah dibantu di kawasan Telipok, Sepanggar, Inanam, Likas, Petagas, dan Putatan. Bantuan ini diberikan kepada semua golongan yang memerlukan tanpa birokrasi yang menyusahkan rakyat.

Projek ini juga telah dibantu oleh NGO Serantau MUSLIM yang menyumbangkan 100 Tenang Kit dan projek #MakanKongsi juga menyumbangkan 100 pek makanan yang disalurkan kepada keluarga yang memerlukan ini.

NGO WINS dan Muafakat Sabah mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang budiman.

Projek ini perlukan dana dan sumbangan daripada anda untuk terus membantu golongan yang sangat memerlukan. Projek ini menyasarkan 1000 kit dapat diedarkan sepanjang projek ini berjalan.

Sumbangan wang tunai boleh disalurkan ke akaun Maybank (Persatuan Wanita Impian Negeri Sabah) 5602 3212 9229 (Ref : FamilyKit). Sebarang pertanyaan, hubungi: 013-544 9691 atau 019-870 1907.