Dulu Bersatu mahu tolak rasuah, sekarang berpeluk dengan UMNO

Ketika saya menyertai BERSATU pada November 2017 yang lalu, ianya sudah pasti merupakan suatu keputusan yang paling besar dalam hidup saya.

Pilihanraya UMUM ke-14 telah menunjukkan bahawa Pakatan Harapan berjaya mendapat mandat oleh rakyat menewaskan rejim kleptokrat Barisan Nasional yang memerintah sejak 60 tahun. Pertukaran kerajaan yang aman dan tanpa pertumpahan darah.

BERSATU dilihat sebagai parti alternatif pilihan orang Melayu. Nah, kita lihat pada PRU14 yang lalu bahawa rakyat berani memberikan mandat kepada BERSATU bersama rakan parti komponen Pakatan Harapan untuk membawa aspirasi baharu politik Malaysia.

Kita mahukan membersihkan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, memperkasa “Rule of Law”, mereformasikan institusi dan fokus membasmi kemiskinan rakyat. Kita juga sangat komited khususnya MP BERSATU untuk memperkasa nasib orang Bumiputera.

Namun harini ini, berbeza dengan apa yang kita sangkakan. Kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan melalui jalan yang kita sukar untuk fikirkan. Pakatan-pakatan politik yang hanya inginkan kuasa, dibina dan digerakkan secara diam. Sebahagian daripada kita juga, menjadi watak utamanya.

Jauh saya berfikir pada waktu itu. Dulu mereka kata di Perhimpunan Agung BERSATU “Kita hapuskan rasuah”, “Kita tolak UMNO” dan sebagainya. Tetapi harini mereka duduk bersama membentuk gabungan baru lantas Pakatan Harapan dikhianati.

Apa sudah jadi dengan politik Malaysia hari ini?

Maka, soalan yang penting untuk kita fikirkan bersama ialah:

Ke manakah halatuju parti harini? Bagaimana parti ini mahu digerakkan kembali?

Apa sebenarnya sebab paling asas parti ini ditubuhkan?

Barangkali mereka disana itu kian terlupa atau buat-buat lupa.

Keterlibatan saya pertama kali bersama parti ini kerana saya mendokong semangat dan prinsip parti untuk menjunjung tinggi sistem demokrasi, mempertahankan agama, memperkasa bangsa dan paling utama ialah berjanji setia untuk menolak rasuah secara total, melawan salah guna kuasa dan membina budaya baharu dalam urus tadbir negara dan mencorak naratif politik yang lebih segar buat Malaysia.

Walaupun usia parti ini masih baru, namun sebahagian besar ahlinya sudah sarat dengan pengalaman dalam politik kepartian bagi mengimbangi ramai ahli-ahli baru terutamanya anak muda yang baru kali pertama menyertai parti politik. Namun kesemuanya mempunyai iltizam yang sama untuk berjuang bagi memertabatkan maruah bangsa dan agama di dalam negara kita yang tercinta ini.

YB Dato’ Amiruddin Hamzah
Kubang Pasu
11 Jun 2020

Sumber :