Duit belanja 10 sen pergi sekolah zaman dulu jadi kenangan

Oleh GEMILANGDAILY

Duit belanja 10 sen pergi sekolah zaman dulu jadi kenangan. Duit saku seba­nyak 10 sen sehari yang diberikan ibu bapa antara kena­ngan yang tidak dapat dilupakan Rokiah Sahat, 58, bekas murid yang bersekolah pada tahun 1972 di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Hitam di sini.

Beliau yang kini berjawatan Pengarah Jabatan Audit Negeri Sarawak, dengan duit sebanyak itu, ia dibelanjakan dengan cermat sepanjang waktu persekolahan bermula pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Katanya, sebagai tambahan, semua murid akan membawa bekalan seperti nasi goreng atau kuih bagi mengalas perut sementara menunggu tamat waktu persekolahan sebelum dapat makan tengahari di rumah.

“Walaupun dibekalkan de­ngan duit sebanyak itu, ia tidak menghalang minat kami untuk pergi ke sekolah, malah ada yang menangis sekiranya gagal hadir kerana bimbang ketinggalan mata pelajaran.

“Wang tersebut adakalanya dibawa balik untuk disimpan sebagai tabungan kerana tahu kesusahan dihadapi keluarga,” ujarnya.

Rokiah berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sirih Pulang ke Gagang sempena pertemuan semula alumni sekolah berkenaan daripada bekas pelajar dan guru di sini baru-baru ini.

Pada pertemuan itu, kira-kira 50 bekas murid dari tahun 1972 hingga 1977 bertemu dan mengimbas semula detik-detik manis ketika zaman persekolahan mereka.

Seorang lagi bekas murid sekolah itu, Azman Ramlan, 57, berkata, saat paling menakutkan pada zaman itu adalah penemuan sebutir bom tangan dipercayai digunakan anggota komunis berhampiran kelas.

Ujarnya, ketika itu semua murid diletakkan di dua kelas yang jauh dari kawasan penemuan bom apabila operasi pemusnahan dilakukan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ramai yang menangis khususnya murid perempuan apatah ketika itu umur kami baru lapan tahun (1973),” katanya.

Sempena dengan pertemuan ini juga, alumni sekolah terbabit menyumbangkan derma seba­nyak RM12,000 untuk pembangunan murid.

BACA JUGA :

Terlalu kaya sangat sampai lelaki ini nak sedekah RM491 Billion kepada sesiapa berhajat

Ustaz Kazim ‘sound’ Yusof Haslam buka aib anak menantu

Bekas Panglima Angkatan Tentera kini Ketua Fasilitator kerajaan