Keseronokan 19 individu mengadakan parti liar di sebuah unit kondominium di Taming Jaya, Kajang, terbantut apabila mereka ditahan polis dalam serbuan di kediaman itu, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung sekumpulan individu berkumpul dan membuat bising di kediaman itu sebelum serbuan dilakukan 12.30 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan dilakukan di kediaman terletak di tingkat 15 itu mendapati terdapat 14 lelaki dan lima wanita berusia antara lingkungan 20-an hingga 30-an sedang asyik berhibur dengan muzik serta meminum minuman keras di ruang tamu.
“Siasatan awal mendapati premis kediaman itu disewa secara harian daripada pemilik oleh seorang daripada individu berkenaan dengan bayaran RM140 sehari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
“Berdasarkan keterangan diambil, tujuan mereka berkumpul di kediaman itu adalah semata-mata untuk berkumpul dengan rakan, selain berhibur bersama.
“Siasatan juga mendedahkan kumpulan ini melakukan kutipan antara mereka sebanyak RM20 hingga RM30 setiap seorang bagi menampung pembayaran kediaman yang disewa,” katanya.
Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/utama/2020/04/562585/pkp-seronok-berparti-ya