Dua warga asing yang tiba dari Dubai didapati positif Covid-19 varian Nigeria

Dua warga asing yang tiba dari Dubai didapati positif Covid-19 varian Nigeria

Kementerian Kesihatan (KKM) menemui dua kes pertama individu yang dijangkiti Varian Nigeria SARS-CoV-2, yang juga dikenali sebagai B1.525, di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua warga asing yang tiba dari Dubai, UAE didapati positif Covid-19 melalui ujian swab RT-PCR.

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) selanjutnya melakukan penjujukan genom penuh kerana mengambil kira sejarah perjalanan mereka.

Menerusi muat naik di Facebook, Noor Hisham berkata varian tersebut mempunyai persamaan dengan varian UK B.1.1.7, termasuk berkongsi mutasi “spike protein” E484K juga mendapat perhatian kerana ianya dilaporkan dapat menghindari sistem imun.

“Varian Nigeria juga boleh menyebabkan peningkatan dalam kebolehjangkitan serta kemungkinan penurunan tindak balas imun.”

Beliau berkata, KKM melalui IMR dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi Nigeria B1.525 dan memaklumkan masyarakat umum dari semasa ke semasa.

“Walaupun program vaksinasi sedang dilaksanakan, tindakan kesihatan awam masih perlu diamalkan kerana imuniti kelompok belum tercapai.

“Orang ramai dinasihati sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/05/malaysia-lapor-dua-kes-pertama-varian-nigeria-kp-kesihatan/