Dua suspek kes tembak PGA dibebaskan, bukan larikan diri seperti diviralkan

Dua suspek kes tembak PGA dibebaskan, bukan larikan diri seperti diviralkan

Polis Kedah menyangkal dakwaan yang tular di media sosial mengenai dua suspek disyaki terlibat kes tembak anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 dikatakan meloloskan diri daripada tahanan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Sapii Ahmad berkata sebaliknya kedua-dua suspek itu dibebaskan oleh polis berikutan tiada arahan penahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dibenarkan oleh mahkamah terhadap mereka.

“Ekoran insiden tembakan pada 24 Nov lepas di sempadan Malaysia-Thailand yang menyebabkan kematian dan kecederaan anggota PGA, polis Kedah telah menahan 15 suspek, termasuk dua yang disyaki turut terlibat dalam satu lagi kes tembakan pada 12 Nov dekat sempadan.

“Mereka disyaki terlibat selain dipercayai terbabit dengan kes penyeludupan ketum serta pencerobohan dan khianat di sempadan Malaysia-Thailand Bukit Kayu Hitam,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar hari ini.

Menurutnya bagi kes tembakan, siasatan telah selesai dan kertas siasatan berhubung kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri dan pihaknya masih menunggu arahan bagi pertuduhan kes di mahkamah.

Menurutnya dua suspek itu pula dibebaskan selepas mahkamah tidak membenarkan perintah tahanan reman, dan dakwaan bahawa kedua-dua mereka meloloskan diri, adalah tidak benar.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/558144