Dua pendirian berbeza, namun Umno belum masuk tahap berkrisis

Dua pendirian berbeza, namun Umno belum masuk tahap berkrisis

UMNO menafikan mereka menghadapi krisis apabila wujud dua pendirian berbeza antara pimpinan parti itu berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kenyataan yang dikeluarkan segelintir pimpinan parti itu hanya mewakili pandangan peribadi masing-masing.

Beliau berkata, semua pimpinan akan berunding mengenai isu terbabit untuk mencapai titik penyelesaian bagi mengelakkan berlakunya krisis dalam parti itu.

“Kita perlu menyelesaikan isu yang akan menyebabkan perpecahan itu berlaku secara dalaman dan juga profesional.

“Kita duduk berunding dan tanya apa yang sebenarnya mereka mahu, kenapa cakap begitu dan begini. Kalau kita tidak dapat selesaikannya, baru ia menunjukkan ada krisis.

“Tetapi UMNO sekarang belum sampai tahap itu. Masing-masing tumbuk meja saja, tapi tidak sampai jadi krisis,” katanya ketika ditemui di Program Ceria Ke Sekolah CSR TNB di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai keputusan UMNO itu yang didakwa akan memecah belahkan parti Melayu, Mahdzir berkata, setiap keputusan dibuat dalam parti politik mengambil kira perjalanan organisasi politik masing-masing.

“Dia macam berniaga, ada untung ada rugi. Jadi untung rugi politik turut diambil kira apabila sesuatu keputusan itu dibuat.

“Selebihnya, terpulang kepada diri masing-masing untuk menafsirkan keputusan itu,” katanya.

Sebelum ini, beberapa badan pimpinan UMNO negeri mengumumkan akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu, sekali gus bertentangan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menamatkan kerjasama itu di peringkat nasional.
Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/127290/BERITA/Politik/UMNO-belum-sampai-tahap-hadapi-krisis