Doktor kontrak nekad teruskan mogok setelah nasib mereka terus diabai

Doktor kontrak nekad teruskan mogok setelah nasib mereka terus diabai.Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum mogok dilancarkan oleh doktor kontrak dan setakat ini tiada sebarang jawapan daripada kerajaan biarpun mereka berhasrat untuk terus kekal berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam.

Wakil kumpulan Hartal Doktor Kontrak berkata sikap berdiam diri itu menyebabkan mereka tiada pilihan selain meneruskan mogok itu seperti yang dijadualkan pada 26 Julai ini.

Bercakap kepada FMT, wakil yang tidak mahu dikenali itu berkata tujuan mogok dilancarkan adalah untuk mengelakkan kehilangan doktor kontrak yang sama ada berhijrah ke sektor swasta atau luar negara.

Doktor kontrak melancarkan pergerakan bantahan Bendera Hitam di media sosial dua minggu lalu untuk menyuarakan keluhan mereka terhadap sistem kontrak.

Dia berkata pergerakan itu bukan untuk kepentingan peribadi doktor kontrak tetapi memperbaiki sistem kesihatan Malaysia secara keseluruhan.

Doktor

“Di atas kertas, tentunya kami boleh pergi kerana kami adalah doktor kontrak. Kami tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan atau Kementerian Kesihatan,” katanya.

“Bagaimanapun, kami berharap dapat meneruskan khidmat untuk menjaga pesakit, memastikan orang awam menikmati kemudahan penjagaan kesihatan yang diperlukan.”

Katanya, tidak banyak insentif diberikan kepada doktor kontrak untuk terus kekal dalam sektor perkhidmatan awam.

Isu utama yang dihadapi ialah doktor muda ini mereka tidak mempunyai peluang untuk mempunyai pengembangan kerjaya walaupun menerusi lanjutan pengajian ke peringkat ijazah sarjana atau memilih pengkhususan.

Mereka juga mengadu mengenai sistem cuti yang lintang-pukang manakala cuti belajar hanya diberikan kepada doktor tetap sahaja.

Dia berkata Malaysia memerlukan nisbah 14 doktor pakar kepada 10,000 penduduk tetapi ketika ini ia hanya 4:10,000.

“Kita memerlukan jumlah pakar sebanyak tiga kali lebih ramai berbanding sekarang,” katanya.

Dia turut memberi amaran mengenai kesan jangka panjang yang bakal dihadapi susulan jurang kemahiran antara doktor muda yang mempunyai pengalaman kurang lima tahun dengan pakar yang sudah berkhidmat sebelum sistem kontrak dilaksanakan lagi.

Katanya, khidmat pakar lebih diperlukan dengan mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang memberi kesan terhadap sistem badan yang berbeza.

Terdapat lebih 20,000 doktor yang berkhidmat dengan kerajaan secara kontrak menerusi sistem diperkenalkan pada 2016 untuk menangani lambakan graduan perubatan ketika itu.

Graduan perubatan baru perlu berkhidmat di bawah sistem kesihatan awam selama lima tahun.

Wakil kepada doktor kontrak itu berkata, dia masih melanjutkan pengajian ketika sistem berkenaan diperkenalkan dan tidak begitu memikirkan mengenai perkara terbabit.

“Kami menyangkakan ia mungkin tidak menjadi satu isu, mungkin kita dapat dilantik ke jawatan tetap selepas itu. Memang kita begitu naif pada masa itu.

Dia dan pelajar lain percaya kerajaan mempunyai ‘rancangan lebih baik’ untuk mereka.

Menjelang mogok tidak lama lagi, dia mengakui kumpulan itu mempunyai kebimbangan terhadap padah buruk yang akan diterima.

Walaupun sedar mengenai risikonya, Hartal Doktor Kontrak akan tetap dijalankan dengan sokongan ‘keluarga’ bidang perubatan dan orang awam.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/20/menjelang-mogok-doktor-kontrak-berjuang-untuk-kekal-berkhidmat/

Jika Terlepas:Kartunis Denmark lukis karikatur Nabi Muhammad dilapor meninggal dunia