Doktor kontrak : Masih belum ada keputusan kabinet. Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata kabinet yang bermesyuarat pada Rabu lalu masih belum membuat sebarang keputusan mengenai isu doktor kontrak.
Ini katanya, meskipun Menteri Kesihatan, Adham Baba memberi jaminan bahawa kerajaan akan membuat keputusan dalam mesyuarat tersebut.
“Adham malah dilaporkan menasihati doktor kontrak agar bersabar kerana perkara itu akan dibincangkan oleh kabinet.
“Namun, hingga hari ini, tidak ada kenyataan rasmi atau arahan dari mereka berhubung keluhan ramai kakitangan kesihatan yang terlibat dan bahkan orang ramai yang menyokong mereka untuk menuntut penyelesaian yang adil bagi kakitangan perubatan kontrak.
“Bagaimana menteri boleh minta mereka bersabar jika mereka tidak diberikan sebarang penjelasan mengenai apa yang dibincangkan dan diputuskan untuk kakitangan kesihatan kontrak ini?” soal Yii, yang juga seorang doktor dalam satu kenyataan.
Yii berkata, kerajaan tidak boleh lagi memberikan alasan tanpa sebarang penyelesaian.
“Ada keputusan dasar yang boleh dibuat kabinet dengan segera termasuk membenarkan pekerja kontrak memohon Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana dan pengkhususan mereka dan juga memberikan faedah yang sama kerana beban kerja dan tanggungjawab serta risiko yang sama dengan rakan tetap mereka.
“Keputusan dasar seperti itu mungkin tidak menimbulkan komitmen kewangan yang besar dan boleh menjadi langkah pertama yang baik untuk menyelesaikan masalah ini secara komprehensif,” katanya.
Doktor kontrak junior kerajaan menghadapi masa depan yang tidak menentu setelah tamat latihan lima tahun mereka di hospital kerajaan.
Terdapat kekurangan jawatan tetap di hospital awam akibat kekangan kewangan kerajaan.
Akibatnya, ramai doktor kontrak terpaksa beralih ke sektor swasta atau meneruskan latihan kepakaran mereka di luar negara.
Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/583426