Doktor bimbang jika penerima dos pertama vaksin dapat kelonggaran SOP. Sekumpulan doktor khuatir dengan cadangan untuk membenarkan individu yang telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 kembali bekerja dan bergerak bebas.
Menurut Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), lebih baik kerajaan terus mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan memastikan lebih ramai mendapat dos kedua.
“Barulah kita dapat buka terus beroperasi, dengan prosedur operasi standard yang diubah suai untuk meminimumkan jangkitan semula,” kata Presiden FPMPAM Dr Steven Chow kepada FMT.
Katanya, SOP Covid-19 boleh diubah suai supaya padan dengan individu berlainan status vaksin: mereka yang lengkap divaksinasi, yang telah menerima dos pertama, dan yang belum menerima vaksin.
Beliau mengulas mengenai cadangan peniaga runcit untuk mengizinkan individu yang telah menerima dos pertama mereka untuk bergerak bebas dan bekerja, tanpa had bilangan kakitangan di tempat kerja.
Enam persatuan runcit memetik data menunjukkan kadar keberkesanan 70% terhadap Covid-19 bagi mereka yang telah menerima dos pertama vaksin.
Chow berkata, beliau akan menyokong kelonggaran sekatan bagi mereka yang telah lengkap vaksinasi dan menggesa kerajaan untuk mempercepat keputusannya. Ini sepatutnya sudah lama diusahakan, katanya.
Kelonggaran sekatan, katanya, akan tambah meyakinkan orang ramai tentang kepentingan mendapatkan vaksin.
Beliau mencadangkan agar kelonggaran dimulakan dengan membenarkan individu yang telah lengkap vaksinasi untuk kembali bekerja, makan di restoran dan melakukan perjalanan bagi tugas-tugas sosial dan hal-hal keluarga yang penting, selain merentas negeri.
Katanya, ini sangat penting untuk memulihkan ekonomi.
Merujuk kepada Singapura, beliau berkata, negara jiran berkenaan sudah “jauh ke hadapan”.
Bagaimanapun, tambahnya, semua orang harus terus menjaga kebersihan dan mengambil langkah berjaga-jaga lain untuk mengelak jangkitan.
“Vaksin tidak memberikan perlindungan mutlak. Anda masih boleh dijangkiti dan menyebarkannya kepada orang yang anda sayangi,” katanya.
Warga asing yang telah lengkap divaksinasi, katanya, patut dibenarkan masuk ke negara ini, dengan alasan bahawa kelonggaran sama mungkin akan diberi negara lain buat pelancong Malaysia.
Tambahnya, pelajar dan guru harus dibenarkan kembali ke sekolah berdasarkan sasaran dan SOP yang diubah suai.
Buat masa ini, kerajaan membenarkan mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun untuk mendapat vaksin, walaupun janji temu belum dibuat.
Pada Khamis, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mempertimbangkan kelonggaran pergerakan individu yang lengkap dua dos vaksinasi.
Terdahulu, menteri penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kerajaan mungkin mengizinkan mereka yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas negeri.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/17/doktor-khuatir-kelonggaran-sop-penerima-vaksin-dos-pertama/