Dituduh ceroboh Hutan Simpan Kekal, ini jawapan balas PKPS

Dituduh ceroboh Hutan Simpan Kekal, ini jawapan balas PKPS.PERBADANAN Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) merujuk kepada laporan portal berita The Vibes dan Malaysiakini yang memetik kenyataan media gabungan NGO The Coalition for the Protection of Selangor’s Forests serta kenyataan Saudara Faizal Parish, Pengarah Global Environmental Centre (GEC) dalam program temu bual Consider This: Astro Awani pada 2 September 2021.

Laporan itu mendakwa PKPS telah menceroboh dan membuka sebahagian kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Panjang di Sabak Bernam yang kononnya dikatakan hutan gantian berikutan penyahwartaan HSK Kuala Langat Utara (HSKLU).

PKPS ingin menegaskan isu nyahwarta HSKLU TIADA KAITAN LANGSUNG dengan pihak PKPS. Kami juga menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan menyifatkannya sebagai kenyataan berniat jahat dan subversif bagi merosakkan imej PKPS dan secara tidak langsung ingin mensabotaj inisiatif kerajaan negeri yang telah dirancang bagi kepentingan rakyat negeri Selangor.

Ini dilakukan dengan mengaitkan nyahwarta HSKLU dengan tanah milik persendirian PKPS yang akan dibangunkan sebagai tapak Inisiatif Jaminan Bekalan Makanan Negeri Selangor.

ceroboh

Tapak projek pembangunan pertanian bersepadu dikenali sebagai Selangor Smart Agro Park (SSAP) yang dikaitkan dengan tohmahan liar berkenaan merupakan tanah HAK MILIK PKPS berstatus PERTANIAN dan bukan berstatus HSK seperti yang telah disahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menerusi surat Bil (9) dlm. PHN.SEL.100-5/3/60 Jld 3 bertarikh 16 April 2021 serta Pelan Fizikal Negara, Pelan Struktur Negeri dan Pelan Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

PKPS ketika ini juga sedang menyiapkan laporan Environmental Impact Assessment (EIA) dan telah mematuhi semua saranan dan arahan dari Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor sebelum memulakan kerja-kerja pembangunan di tapak SSAP seperti mana yang telah diarahkan oleh Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) menerusi surat kelulusan bertarikh 31 Mei 2021.

Menerusi surat yang sama juga, JAS telah membenarkan PKPS melakukan kerja-kerja pembaikan atau ‘remedy’ seperti pembinaan sistem perparitan, kolam takungan, penstabilan tanah, kawalan hakisan tanah dan kelodakan dan kawalan saliran tanah gambut memandangkan kawasan berkenaan sering dilanda bencana banjir serta selalu dicerobohi oleh pihak tidak bertanggungjawab semenjak tahun 2000 lagi.

PENCEROBOHAN TANAH

Pada 28 Ogos 2021, PKPS telah menerima aduan mengenai imej satelit yang menunjukkan bahawa berlakunya pencerobohan oleh pihak luar di dalam kawasan SSAP dan sekitar HSK Sungai Panjang.
Berdasarkan maklumat tersebut, PKPS telah membuat langkah pencegahan dengan mengarahkan pemantauan lebih ketat di keseluruhan tapak HAK MILIK PKPS seluas 971 hektar.
Untuk rekod dan makluman, pencerobohan atau ‘encroachment’ oleh pihak tidak bertanggungjawab telah berlaku di sekitar tapak SSAP serta kawasan HSK Sungai Panjang sejak tahun 2000 sebelum PKPS memperolehi hak milik.

Kerajaan negeri telah menyerahkan hak penjagaan kawasan ini kepada PKPS bagi memudahkan pemantauan dan mengelakkan pencerobohan dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
PKPS juga sedang mengambil langkah-langkah pencegahan khas bagi memastikan tidak lagi berlaku kejadian pencerobohan memandangkan PKPS sedang mematuhi notis arahan pemberhentian kerja (SWO) yang dikeluarkan oleh JAS pada 8 April 2021.

Berdasarkan situasi semasa, PKPS berpandangan terdapat pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan atas pengeluaran notis SWO berkenaan dengan meneruskan pencerobohan secara haram bagi memburukkan imej PKPS dan kerajaan negeri.

TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh gabungan NGO serta Saudara Faizal Parish ini adalah bersifat ‘mala fide’ serta mempunyai unsur mengaitkan PKPS dengan agenda tersendiri.

Ini turut mengheret PKPS yang sentiasa berusaha membantu kerajaan negeri dalam memastikan jaminan bekalan negeri Selangor berada pada tahap optimum terutama dalam situasi pandemik ini.

Pihak terbabit seharusnya terlebih dahulu membuat laporan dan mendapatkan penjelasan daripada PKPS atau kerajaan negeri sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas seperti ini.

Justeru itu bagi memastikan penyebaran berita palsu seperti ini tidak berulang, PKPS akan mengambil tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman fitnah terhadap pihak terbabit dalam masa terdekat kerana cubaan untuk merosakkan nama baik PKPS dan kerajaan dengan membuat tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas.

KOMITMEN PKPS

PKPS kekal komited untuk melaksanakan projek SSAP berdasarkan lunas undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Sekali lagi ditegaskan, sebarang kerja pembangunan di tapak SSAP belum bermula bagi memastikan segala syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri dipatuhi terlebih dahulu.

Selain itu, PKPS juga sedang merangka polisi bagi menyokong Dasar NDPE (No Deforestation, Peat, Exploitation) dan memberi jaminan segala kehendak dasar ini akan dipatuhi secara telus dan teliti. Ini termasuk mewujudkan Central Forest Spine (CFS) untuk memelihara eko-sistem dan habitat semula jadi di kawasan pembangunan SSAP.

PKPS memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berintegriti dan ikhlas untuk membantu kerajaan negeri memastikan sektor agro-makanan tempatan dapat menampung kehendak rakyat Selangor pada masa hadapan.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tuduhan-pencerobohan-pembukaan-tanah-di-hutan-simpan-kekal-sungai-panjang-318145

BACA: Panas !!! Ini dua sebab kenapa Ismail Sabri enggan hadapi usul undi percaya

COMMENTS