Dine-In : Sudah ada yang mengelat, tak cukup syarat

Kelonggaran untuk makan secara ‘dine-in’ di premis kedai makan sememangnya dinantikan namun ada pelanggan dikesan gagal mematuhi syarat lengkap selain daripada menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, susulan kelonggaran yang berkuatkuasa hari ini, pihaknya melakukan pemeriksaan di 12 premis sekitar bandaraya bagi memastikan pemilik dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, kebanyakan premis mematuhi SOP yang ditetapkan namun masih banyak premis belum menyediakan perkhidmatan ‘dine-in’.

dine

Gambar hiasan.

“Ada pelanggan yang tidak patuh syarat ‘dine-in’ iaitu tidak melepasi 14 hari selepas menerima vaksin lengkap.

“Daripada 28 pengunjung yang diperiksa, lima daripadanya memberitahu sudah disuntik dua dos tetapi belum melepasi tempoh 14 hari.

“Ada juga pelanggan yang ingat sudah boleh ‘dine-in’ walaupun baharu terima satu dos vaksin dan kesemuanya diberi nasihat serta amaran memandangkan SOP baharu yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Tambah Soffian, sehingga jam 4 petang, seramai 50 individu direkodkan memasuki bahagian pulau menerusi Jambatan Pulau Pinang dengan menunjukkan sijil digital vaksinasi lengkap.

Tinjauan Harian Metro mendapati pemilik premis makanan di Lebuh Queen, di sini, berkata, pihaknya belum menyediakan aktiviti ‘dine-in’ kerana masih bimbang dengan peningkatan kes Covid-19.

Sementara itu, kelonggaran menunaikan solat di masjid dan surau bagi mereka lengkap dua dos vaksin Covid-19 juga bermula hari ini dan dilihat berjalan lancar.

Tinjauan Harian Metro di beberapa masjid sekitar bandaraya mendapati pemeriksaan pematuhan bagi tambahan SOP iaitu perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang dilakukan di pintu masuk masjid.

Selain menunjukkan sijil vaksinasi ketika mendaftar, mereka perlu melakukan pemeriksaan suhu badan dan imbas kod MySejahtera.

Pengerusi Kariah Masjid Kapitan Keling, Jalan Buckingham, Faruk Raja Mohamed berkata pihaknya melakukan inisiatif dengan memasang gegantung mengenai SOP tambahan itu.

“Pergerakan jemaah setakat ini baik namun pemeriksaan akan diperketatkan bermula esok.

“Jumlah jemaah pada hari ini tidak ramai kerana cuti umum, namun kita akan pemeriksaan SOP ketat bermula esok iaitu pada hari bekerja.

“Masjid ini mempunyai kapasiti 100 jemaah dan separuh daripada 25 ahli jawatankuasa termasuk pengawal keselamatan sudah lengkap vaksinasi,” katanya ketika ditemui di sini.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/740993/beri-alasan-tidak-tahu-kena-lengkap-dua-dos-vaksin

BACA JUGA : Gara-gara kelonggaran SOP, sijil vaksinasi berisiko dipalsukan

COMMENTS

Wordpress (0)