Dilema CAC maya, pesakit lapor bila sudah terlewat

Dilema CAC maya, pesakit lapor bila sudah terlewat. Kementerian Kesihatan baru-baru ini mengarahkan pesakit Covid-19 tanpa gejala tinggal di rumah dan melaporkan status kesihatan mereka secara dalam talian, berbanding datang ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk menjalani pemeriksaan.

Walaupun ia dapat mengurangkan kesesakan di CAC, seorang pakar kesihatan berkata langkah itu mungkin menimbulkan masalah lebih besar selepas ini.

Bercakap kepada Malaysiakini baru-baru ini, sumber itu mendakwa langkah meminta pesakit kategori 1 dan kategori 2 Covid-19 menjalani kuarantin di rumah menyebabkan ramai daripada mereka yang hanya datang mendapatkan rawatan ketika kesihatan mereka “di tahap yang sangat buruk”.

Ini menyebabkan hospital-hospital di Lembah Klang dibanjiri kes-kes serius, termasuk ramai pesakit terpaksa bergantung kepada tangki oksigen dan mesin sokongan hayat.

“Selalunya, pesakit ini datang bila sudah terlambat,” kata sumber itu yang merupakan pegawai kanan kesihatan yang terlibat secara langsung dalam operasi pengurusan wabak Covid-19.

CAC

“Bahaya biarkan pesakit Covid-19 tinggal di rumah dan buat pemeriksaan sendiri. Terutama mereka yang mungkin tak tahu bagaimana menilai keadaan kesihatan mereka sendiri, atau tidak berdisiplin.

“Malas nak datang hospital atau malas nak datang buat pemeriksaan. Tapi bila mereka sedar hadapi masalah barulah mereka akan bergegas ke hospital,” kata doktor berkenaan.

Lembah Klang mencatatkan jumlah kes positif harian Covid-19 yang tinggi sejak tiga bulan lalu, menyebabkan hospital-hospital besar kekurangan katil, termasuk untuk rawatan intensif.

Kerajaan menubuhkan banyak CAC termasuk CAC mega di Lembah Klang, yang bertujuan untuk menilai pesakit Covid-19 bagi menentukan sama ada mereka perlu menjalani kuarantin di rumah, dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 ( PKRC) atau dimasukkan ke hospital.

Walaupun kapasiti CAC boleh menampung ribuan pesakit setiap hari, CAC mega dilaporkan dibebani dengan peningkatan jumlah kes.

Berikutan itu, pasukan petugas khas Lembah Klang (GKVSTF) bulan lalu meminta pesakit tanpa gejala melaporkan status kesihatan mereka melalui CAC maya.

Ini memerlukan pesakit memantau kesihatan mereka menggunakan peralatan penilaian di rumah yang terdapat pada aplikasi MySejahtera, yang dipantau oleh pusat panggilan CAC dan CAC maya.

“Tujuannya untuk kurangkan kesesakan di CAC. Namun, kita juga harus lihat keberkesanan penggunaan alat penilaian rumah ini.

“Kalau majoriti pesakit yang datang ke hospital menunjukkan gejala lebih lanjut, yang bermaksud mereka datang pada tahap akhir, lalu ini tunjukkan apa?

“Apakah kita harus terus guna penilaian dalam talian?” kata sumber itu.

Menurut pegawai yang enggan dinamakan bagi mengelakkan tindakan dari pihak atasan, tidak semua orang tahu membuat pemeriksaan sendiri.

Katanya, sesetengah pesakit mungkin kelihatan sihat pada mulanya, tetapi kemudian ditahan di ICU kerana mereka tidak dapat mengenal pasti tanda-tanda bahawa kesihatan mereka telah merosot.

Sebagai rekod, pesakit kategori 1 dan 2 mengalami gejala lebih ringan, pesakit kategori 3 mengalami beberapa jenis keradangan paru-paru namun masih boleh bernafas sendiri, pesakit kategori 4 memerlukan bantuan alat oksigen, manakala pesakit kategori 5 memerlukan ventilator untuk bernafas.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/585667

BACA: Masa untuk Umno tinggalkan kerajaan PN – Shahrir

COMMENTS

Wordpress (0)