Digelar pelacur, ahli Pas dah cukup matang – Ketua Penerangan

Digelar pelacur, ahli Pas dah cukup matang – Ketua Penerangan

Pemimpin PAS menganggap kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang menggelar parti itu seperti “pelacur” sebagai terpencil dan tidak mewakili Umno.

Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad berkata, ia juga tidak akan menjejaskan hubungan parti Islam itu dengan Umno.

“Kenyataan Ku Li itu saya melihatnya terpencil dan tidak mewakili Umno, kerana bagi kita agenda lebih besar yang ingin dibawa PAS, Umno, PPBM dan NGO Islam lain ialah perpaduan ummah. Perpaduan ummah ini jauh lebih besar daripada pandangan terpencil Ku Li yang lebih bersifat peribadi,” katanya kepada FMT.

Ditanya sama ada kenyataan itu mengguris hati penyokong PAS kerana selama ini parti itu membantu kemenangan calon Umno dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas terbentuknya Muafakat Nasional (MN), Kamaruzaman yakin ahli PAS tidak cepat melatah dalam memberi reaksi balas kerana dilatih mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.

“Sekarang kita berada di zaman 2021 dan sebahagian besar rakyat matang serta mempunyai maklumat dengan sangat cepat dan terbuka. PAS ditohmah macam-macam, orang kata macam-macam, PAS telah melalui perjalanan yang sangat hebat, bukan sekadar dicaci, dihina dan dicerca.

“Bagi saya secara peribadi kenyataan Ku Li hanya sebahagian kecil daripada sebahagian besar nista dan tohmahan yang telah diberikan kepada PAS dan tidak menjejaskan perjuangan.

“Kepada ahli PAS, kita kekal tenang, tidak perlu beremosi dan terus mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera yang kita amalkan sejak sekian lama,” katanya.

Tengku Razaleigh yang juga veteran Umno dipetik The Malaysian Insight melabelkan PAS sebagai “pelacur politik” susulan tindakan parti itu yang menurutnya “sekejap DAP, sekejap Semangat 46”.

Ku Li juga berkata, Umno perlu menentang PAS dalam pilihan raya umum ke-15 akan datang.

“Di (pilihan raya kecil) Tanjung Piai, ketika mereka dah bersama dengan kita, PAS tidak mengundi kita, mereka ada 3,000 ahli di Tanjung Piai tapi tidak sampai 1,000 yang undi kita. Mereka bukan rakan kongsi yang jujur. Begitu juga di Semenyih.

“PAS macam pelacur, sekejap (sokong) DAP, sekejap Semangat 46,” kata bekas presiden Semangat 46 itu.

Sementara itu, mengulas tuduhan Tengku Razaleigh konon PAS tidak boleh dipercayai apabila pernah bekerjasama dengan DAP, Kamaruzaman berkata parti itu akan memposisikan kedudukan mereka jika difikirkan lebih bermanfaat untuk ummah.

“PAS sebenarnya pernah bekerjasama dengan semua parti, jadi kita sentiasa mengambil kedudukan terbaik demi untuk membawa perjuangan Islam yang terbaik,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/12/dilabel-pelacur-kenyataan-ku-li-terpencil-tak-wakili-umno-kata-pas/