Didakwa menyamar sebagai peguam Istana Johor, peguam ini tampil buat penjelasan

Didakwa menyamar sebagai peguam Istana Johor, peguam ini tampil buat penjelasan

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera,

Saya merujuk kepada kenyataan 8seorang Pegawai Kanan Polis di negeri selatan tanah air pada tarikh 22 April 2021 yang menyatakan dalam sidang media tersebut seolah-olah menunding jari kepada saya dengan pernyataan-pernyataan seperti berikut:-

1) Bahawa saya adalah Peguam yang menyamar sebagai Peguam Istana Johor dan cuba memperdayakan sebuah syarikat di Petaling Jaya dalam satu urusan komersial.

2) Bahawa saya telah disabitkan bersalah dalam satu kes jenayah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Dengan ini, saya ingin membuat beberapa pernyataan dengan sepenuh jujur dan suci hati bahawa saya menyangkal kenyataan-kenyataan Pegawai Kanan Polis di selatan tanah air tersebut dengan penjelasan dan justifikasi daripada pihak saya seperti berikut:-

a) Bahawa saya tidak pernah menyamar atau memperdayakan mana-mana pihak sebagai Peguam Diraja Johor. Status saya sebagai Peguam dapat disahkan melalui jbanyak dokumen dan surat termasuk salah satu contohnya adalah satu surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bertarikh pada 23 Mac 2011 yang mengesahkan bahawa saya sememangnya pada semua masa yang material iaitu sebelum dari tarikh 23 Mac 2011 adalah merupakan Peguam yang mewakili DYMM Sultan.

b) Saya juga menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah disabitkan dengan pertuduhan jenayah di mana-mana Mahkamah di Malaysia mahupun luar Malaysia. Kes-kes yang telah dipertuduhkan kepada saya.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru adalah di bawah pertuduhan komersial yang berkaitan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan telah diselesaikan pada tahun 2018 dengan cara TANPA SEBARANG SABITAN JENAYAH.

c) Kes yang baru dipertuduhkan ke atas saya di Mahkamah Sesyen Shah Alam adalah satu pertuduhan yang bersifat ‘malicious prosecution’ dan berniat jahat kerana di dalam kes ini tiada langsung salah laku jenayah dan tiada langsung duit yang hilang atau disalah gunakan oleh pihak saya. Kes ini pernah disiasat pada tahun 2011 dan telah dikategorikan sebagai (No Further Action/tiada tindakan lanjut).

Saya berharap agar penjelasan pihak saya ini dapat memberikan pencerahan kepada semua pihak dengan saya merizabkan hak saya untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang sivil yang mana bersesuaian di bawah Undang-undang Malaysia.

Saya juga berharap agar mana-mana Ketua Jabatan agar menyemak terlebih dahulu sebarang fakta sebelum membuat apa-apa kenyataan media yang salah dari segi fakta sehingga boleh memprejudiskan mana-mana pihak.

Sekian, terima kasih.

KAMAL HISHAM JAAFAR
Bertarikh pada : 23 April 2021

Berita penuh : https://negaramerdeka.com/gempar-enggan-dituduh-sebagai-scammer-peguam-ini-tampil-menceritakan-kisah-sebenar/