Dialog kos sara hidup belia bakal dibawa ke peringkat zon

Dialog kos sara hidup belia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang julung kali diadakan semalam bakal dibawa ke peringkat zon di seluruh negara, kata Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha.

Perkara itu telah dipersetujui menteri KPDNHEP Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat, katanya.

Menurut beliau, penganjuran dialog itu di peringkat zon dapat dijadikan sebagai platform untuk belia akar umbi menyampaikan hasrat di samping membantu pihak KPDNHEP mendapatkan input mengenai kos sara hidup.

“MBM menyeru agar belia mengambil peluang ini untuk menyampaikan isi hati dan hasrat mereka kepada pihak kerajaan berdasarkan tujuh kluster utama (kesihatan, pendidikan, utiliti, perumahan, e-dagang, pengangkutan, makanan) yang mempengaruhi kos sara hidup belia dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, KPDNHEP dan MBM menganjurkan dialog bersama wakil gabungan belia seluruh negara bagi mendapatkan input dan idea dalam menangani isu kos sara hidup dalam kalangan golongan muda.

Program yang diadakan di Putrajaya itu melibatkan gabungan-gabungan yang bernaung di bawah MBM.

BERNAMA

COMMENTS

Wordpress (0)