Kenapa daun ketum Malaysia tak laku di Thailand? Ini puncanya kenapa daun ketum tak laku di negara jiran kerana ia bertujuan perubatan.
Penanaman daun ketum untuk tujuan perubatan di negara Thailand menyebabkan harga ketum Malaysia tidak laku di negara itu dan merosot hampir 200 peratus.
Daun ketum Malaysia pernah mencecah RM180 bagi satu kilogram (kg), kini merosot sehingga RM30 di negara itu manakala di Perlis, harganya sekitar RM10 bagi sekilogram.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, mendedahkan langkah kerajaan Thailand itu dilihat ada kesan positif dalam mengawal kegiatan penyeludupan daun ketum dari negara ini ke Thailand.
“Namun pada masa sama, kegiatan penyeludupan daun ketum tempatan kini kembali beralih kepada pasaran domestik
yang mana ia akan diseludup dan diedarkan ke negeri seperti Perlis, Kedah dan sebahagiannya dibawa ke selatan tanah air.
“Tangkapan terhadap sindiket penyeludupan ketum ke negara Thailand terutamanya dari Perlis menurun lebih 50 peratus namun kegiatan penyeludupan ini masih diteruskan dengan menumpukan barangan lain seperti petrol dan diesel, beras, gula serta barangan bersubsidi yang lain.
“Pengurangan dari segi tangkapan penyeludupan daun ketum ini juga membolehkan kita menumpukan tugas kepada permasalahan jenayah lain termasuk rentas sempadan serta penyeludupan barangan bersubsidi lain,” katanya dipetik BH.
Terdahulu, Muhammad menyaksikan pelupusan kes membabitkan daun dan air ketum yang dianggarkan bernilai RM5.748 juta yang dirampas dalam tempoh empat tahun iaitu antara 2018 hingga tahun lalu di Padang Besar.