Darurat dan PKP 2.0 ‘separuh masak’ gagal kawal Covid-19, kata Najib

Darurat dan PKP 2.0 ‘separuh masak’ gagal kawal Covid-19, kata Najib

Statistik pada hari ini membuktikan pelaksanaan genap tiga bulan darurat dan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0, semalam tidak berjaya mengawal penularan Covid-19, apatah lagi mencapai sasaran penurunan kes kepada dua angka pada Mei, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) juga naik kepada 1.09 semalam berbanding paras neutral 1.00, sekali gus menggambarkan jumlah jangkitan baru adalah dalam trend menaik.

“Genap tiga bulan negara sudah melaksanakan darurat dan PKP 2.0 semalam (13 Jan-13 April). Apakah ia berkesan? Adakah pelaksanaan darurat berjaya menghentikan penularan Covid-19?,” soalnya menerusi catatan di Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah melakukan kesilapan besar apabila melaksanakan PKP ‘separuh masak’ dengan memberi kelonggaran kepada kilang, pusat beli-belah dan kedai emas beroperasi ketika permulaan PKP 2.0.

“Adalah kesilapan besar apabila kerajaan PN degil untuk melaksanakan PKP yang singkat tapi amat ketat tanpa kelonggaran tetapi pilih untuk buat PKP separuh masak dengan segala kelonggaran bagi kilang-kilang, pusat beli-belah, kedai emas dan sebagainya pula pada permulaan PKP 2.0.

“Akibatnya, kebenaran rentas negeri sempena Aidilfitri menjadi tanda tanya besar,” katanya.

Untuk rekod, negara mencatatkan 1,767 kes baharu semalam dengan 16,300 kes aktif dan 12 kematian direkodkan.

Pada awal April, Najib pernah mencadangkan untuk kerajaan melaksanakan PKP ketat dalam tempoh singkat iaitu antara lima hingga tujuh hari sebelum rentas negeri dibenarkan bagi tujuan pulang ke kampung ketika Hari Raya Aidilfitri.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/14/darurat-pkp-2-0-tak-berjaya-kawal-covid-19-kata-najib/