Dap tawar khidmat guaman percuma kepada rakyat yang didenda RM10,000

Dap tawar khidmat guaman percuma kepada rakyat yang didenda RM10,000

DAP akan menawarkan bantuan khidmat guaman percuma kepada individu yang dikenakan denda RM10,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

Mengumumkan hal tersebut hari ini, Lim mengkritik kerajaan kerana meminda undang-undang berkaitan denda tersebut tanpa melalui parlimen.

Sebelum pindaan ordinan darurat, kesalahan ingkar SOP Covid-19 dikenakan denda RM1,000.

“Kita tidak hanya akan berdiam diri. Kita akan lawan. Kepada mereka yang didenda kerana gagal mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera…

“Terdapat juga kes individu didenda kerana tak pakai pelitup muka ketika makan, saya dah cakap sebelum ini tetapi DAP akan bantu sokong mereka yang dikenakan kompaun.

“DAP akan sediakan perkhidmatan bantuan guaman percuma dan saya nak puji DAP Perak kerana menerajui usaha ini. Kita akan teruskan sehingga ke peringkat nasional,” kata Lim pada ucapan pembukaannya di Konvensyen DAP Perak di Ipoh pagi tadi.

Govt looking to make MySejahtera app mandatory

Anggota parlimen Bagan itu mewakili jawatankuasa eksekutif pusat DAP hadir merasmikan kongres tersebut, yang menyaksikan DAP Perak melaksanakan pemilihan parti baru.

Bermula 11 Mac lalu, kerajaan telah menaikkan jumlah kompaun ingkar SOP daripada RM1,000 kepada RM10,000.

Ini berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 diwartakan mulai 11 Mac.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, kadar kompaun itu boleh dikurangkan dengan memohon rayuan di pejabat kesihatan daerah.

Susulan kenaikan jumlah denda itu, Lim menekankan kepentingan perbahasan undang-undang melalui Dewan Rakyat sebelum ia dilaksanakan dalam negara.

Dakwanya, sekiranya pindaan ini dibahaskan di Dewan Rakyat, ia tidak akan diluluskan.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya undang-undang dibahaskan dan diluluskan dalam Parlimen, selain (diluluskan) oleh perdana menteri.

“Kerana jika ini dibahaskan dalam parlimen, kami tidak akan sokong. Saya percaya anggota parlimen daripada kerajaan juga tidak akan bersetuju jumlah kompaun besar ini.

“(Jika) gagal daftar diri dalam MySejahtera (kena denda) RM10,000. Gagal memakai pelitup muka? RM10,000. Tetapi mengapa menteri gagal pakai pelitup muka, tiada tindakan terhadap mereka,” jelasnya.

Lim merujuk keadaan penangguhan sidang Dewan Rakyat ekoran proklamasi darurat.

Ini katanya, menyerlahkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan kuasanya untuk meluluskan sebarang undang-undang tanpa perbahasan di parlimen.

Terdahulu, sewaktu konvensyen tersebut, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mengumumkan jawatankuasa negeri telah membentuk pasukan bantuan guaman yang terdiri daripada 11 peguam untuk membantu mereka yang dikenakan denda RM10,000.

Nga menyifatkan jumlah denda baru itu sebagai “zalim,” dan meminta sesiapa yang tidak mampu membayar denda itu atau percaya telah dikenakan kompaun scara ‘tidak adil’ untuk mengunjungi pejabat DAP Perak.

Perak DAP intai peluang kerusi

Sementara itu, Nga memberitahu delegasi parti, DAP sedang mengintai peluang untuk bertanding lebih banyak kerusi parlimen dan DUN pada PRU15 akan datang.

Mereka mencari peluang sekurang-kurangnya lapan kerusi parlimen dan 20 DUN.

Pada pilihan raya umum 2018, DAP bertanding di tujuh parlimen dan 18 kerusi DUN, bersama-sama dengan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, salah satu parti komponen PH, Bersatu telah keluar dari gabungan untuk membentuk kerajaan PN sewaktu rampasan kuasa politik tahun lalu.

“Saya ingin mencadangkan agar DAP diberikan peluang untuk bertanding sekurang-kurangnya lapan kerusi parlimen dan 20 kerusi Adun, supaya kita dapat mentadbir kembali kerajaan negeri dan Putrajaya. Kerana kita juga ada rekod yang boleh dibanggakan,” kata Nga merujuk kepada hasil kejayaan parti pada PRU lalu.

“Bagaimanapun, dengan penuh rasa hormat, saya akan memohon kepada Majlis Presiden PH berhubung rancangan tersebut. Ini juga bagi membantu PH kembali memimpin kerajaan persekutuan,” jelasnya lagi.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/566554