Dana RM42 juta : Tiada bukti diterima dari Raja Abdullah, kata pendakwa

Dana RM42 juta : Tiada bukti diterima dari Raja Abdullah, kata pendakwa

Alasan pihak pembelaan bahawa RM42 juta dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak datang secara terus daripada Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud tidak disokong mana-mana bukti, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoc, Datuk V Sithambaram berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak terkhilaf ketika memutuskan bahawa percanggahan fakta cukup untuk memberi impak kepada kredibiliti saksi pembelaan berhubung perkara itu.

Hujahnya lagi, percanggahan dalam keterangan saksi-saksi berkenaan, telah menimbulkan keraguan sama ada bantuan kewangan yang kononnya dijanjikan Raja Arab Saudi ketika itu kepada perayu, benar-benar wujud atau tidak.

“Keterangan ketiga-tiga saksi tentang pertemuan (antara Najib dan Raja Abdullah) di mana tawaran dana kewangan ini diadakan, tidak dapat dipastikan memandangkan keterangan perayu (Najib) sendiri berhubung perkara itu tidak konsisten.

“Ini semua sekadar bukti yang difikirkan kemudian (afterthought evidence) dalam usaha mengukuhkan pembelaan perayu,” katanya di hadapan tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil di Putrajaya, hari ini.

Dua lagi ahli panel bagi prosiding rayuan itu ialah Datuk Vazeer Alam Meera Mydin dan Datuk Has Zanah Mehat.

Tiga saksi yang dinyatakan ialah bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi, Prof Datuk Syed Omar Al-Saggaf, bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Berdasarkan keterangan perayu (Najib) beliau telah dimaklumkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low pada pertengahan 2010, bahawa Raja Abdullah akan memberi sumbangan berbentuk kewangan sebagai tanda sokongan.

Ini berbeza pula dengan keterangan Jamil Khir bahawa Raja Abdullah telah menjanjikan sumbangan itu pada Januari 2010, sewaktu pertemuan antara baginda dan Najib di Riyadh.
Lebih pelik, hujah Sithambaram, sebuah buletin terbitan JAKIM menunjukkan Datuk Seri Jamil Khir sebenarnya menghadiri sebuah majlis di Putrajaya, pada tarikh yang sama kononnya beliau bersama-sama dengan Najib dan Anifah dalam pertemuan di Arab Saudi terbabit.

Ini merupakan percubaan pertama Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengenepikan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan melibatkan dana RM42 juta milik SRC International.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Dalam pada itu Sithambaram berkata, berdasarkan rekod yang diperoleh, sememangnya terdapat kemasukan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib, namun tiada bukti yang mengatakan wang itu datang daripada Raja Abdullah.

Oleh itu, hujahnya lagi, Hakim Mohd Nazlan tidak terkhilaf ketika memutuskan empat surat dari Arab Saudi boleh dijadikan bukti kukuh wang itu benar-benar datang daripada Raja Abdullah dan tiada keterangan siapa sebenarnya yang menyalurkan wang itu ke akaun Najib.

Selain itu, Sithambaram berkata, tindakan pemulangan baki dana terbabit turut menimbulkan persoalan kerana rekod menunjukkan ia akhirnya disalurkan ke akaun Tanore Finance Corp, bukannya kembali kepada Arab Saudi.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/rayuan-najib-tiada-bukti-dana-rm42-juta-datang-dari-raja-abdullah-sithambaram-294392