Dakwaan tubuh negara Kristian, Hannah Yeoh saman Musa Hassan

Dakwaan tubuh negara Kristian, Hannah Yeoh saman Musa Hassan

Pemimpin DAP Hannah Yeoh memfailkan saman fitnah terhadap bekas ketua polis negara Musa Hassan berhubung dakwaan beliau mahu menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.

Yeoh mendakwa kenyataan Musa pada forum di Universiti Teknologi Mara pada 31 Januari lepas adalah fitnah dan berniat jahat.

“Kenyataan Musa dibuat dengan niat jahat untuk merosakkan reputasi saya dan mendedahkan saya kepada kecaman awam. Kenyataan ini bertujuan merosakkan saya dari segi politik,”: katanya.

Musa, yang merupakan ketua polis negara dari 2006 hingga 2010, didakwa memberitahu forum bahawa kumpulan yang tidak dinamakan berusaha memusnahkan Islam di negara ini.

Beliau dilaporkan mendakwa telah membuat kajian dan mendapati wujudnya hubungan antara kumpulan evangelis Kristian dengan DAP.

Beliau juga didakwa berkata, Yeoh menulis sebuah buku “untuk menjadikan negara ini sebuah negara Kristian”.

Yeoh merupakan ahli Parlimen Segambut dan bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Sebelum itu beliau adalah Adun Subang Jaya dan bekas speaker Dewan Undangan Negeri Selangor.

Autobiografinya berjudul “Becoming Hannah: A Personal Journet”, yang diterbitkan pada 2014 memperihalkan perjalanan hidupnya sebagai seorang wanita Malaysia biasa yang berubah susulan kepercayaan sebagai seorang penganut agama Kristian yang membawanya ke dunia politik.

Pada 2017 buku itu mendapat kritikan seorang penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysian yang menyifatkannya sebagai contoh sikap pura-pura DAP berhubung dasarnya yang dikatakan memisahkan agama dengan politik.

Dalam samannya, Yeoh berkata, forum di UiTM yang dihadiri oleh Musa itu disiarkan secara langsung di Facebook dan dilihat lebih 14,000 pengunjung.

Katanya, kenyataan Musa itu dilaporkan oleh portal berita berbahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Yeoh menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada Musa dan injunksi bagi menghalang beliau dan pihak lain terus menerbitkan kenyataan tersebut.

Kes ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Tinggi esok.

Pengganti Musa, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata polis akan menyiasat kenyataan Musa selepas menganalisis rakaman video forum tersebut.

Beliau tidak menolak kemungkinan Musa akan dipanggil untuk membuat kenyataan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/07/20/hannah-yeoh-saman-bekas-kpn-berhubung-dakwaan-negara-kristian/