Dakwaan guna kabel ayah dapat jadi askar, ini jawapan Dafi

Dakwaan guna kabel ayah dapat jadi askar, ini jawapan Dafi

Dakwaan guna kabel ayah dapat jadi askar, ini jawapan Dafi. Penyanyi dan pelakon, Dafi Ismail, 33, menolak andaian, dia diambil membintangi filem Malbatt Misi Bakara disebabkan statusnya sebagai anak Perdana Menteri.

Menurut Dafi, perkara itu tidak berlaku kerana dia sudah lama mempunyai hubungan baik dengan pengarah filem tersebut, Adrian Teh selepas bekerjasama menerusi produksi Ada Hantu.

“Kami pernah bekerjasama dalam filem Ada Hantu dan ia merupakan projek pertama saya bersama Adrian. Hubungan baik itu sudah ada dan mungkin dia lihat kesesuaian watak, jadi saya ditawarkan berlakon dalam filem terbarunya.

“Dia percaya saya boleh memberikan komitmen penuh dan itu yang membuatkan Adrian memberikan tawaran ini,” katanya.

Dafi berkata, dia juga tidak meminta diberikan layanan istimewa hanya disebabkan statusnya itu.

Dakwaan guna kabel ayah dapat jadi askar, ini jawapan Dafi

“Saya harap orang tidak salah anggap. Saya tidak pernah rasa diri ini mempunyai keistimewaan hanya kerana saya anak Perdana Menteri. Saya pun tidak minta diberikan layanan istimewa.

“Tetapi, jika ada pihak yang memberikan layanan yang baik, saya bersyukur. Orang nak beri layanan baik, takkan kita nak tolak. Saya lebih suka melihat perkara ini dari sudut positif,” katanya.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam filem itu, Dafi mengakui, Bakara banyak memberi cabarannya, apatah lagi dia memegang watak sebagai tentera.

“Walaupun watak saya tidak terlalu berat, ia tetap menguji mental dan fizikal saya. Terus-terang, sewaktu menerima tawaran ini, saya fikir panjang.

“Untuk melakonkan watak askar bukan senang dan saya tidak mahu mencacatkan filem orang. Saya bersyukur kerana barisan pelakon lain banyak membantu, termasuk pengarah.

“Saya seronok mengikuti latihan di kem tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum penggambaran dimulakan. Saya sebenarnya memang sukakan aktiviti luar, cuma orang sahaja yang tidak tahu,” katanya.

Filem Malbatt Misi Bakara mencipta rekod sebagai filem termahal pernah dihasilkan karyawan tempatan apabila kos pembikinannya menelan belanja sebanyak RM20 juta.

Ia diambil daripada kisah benar tentang operasi membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap dalam perang saudara di Somalia pada tahun 1993.

Dilakonkan barisan pelakon terkenal seperti Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly dan Shaheizy Sam, filem ini dijangka menemui penonton sekitar Ogos, tahun depan.

BACA:

Pesan bekas isteri kepada DDNK lepas nikah baru buat semua terkejut

Netizen ‘cemburu’ tahu Dr Amalina boleh cuti bersalin setahun dengan gaji penuh

Suspek mati mengejut dalam lokap, ini respon PDRM

CATEGORIES