Dakwa ‘Anwar main belakang’, KJ tarik balik rayuan mahkamah

Dakwa 'Anwar main belakang', KJ tarik balik rayuan mahkamah

Dakwa ‘Anwar main belakang’, KJ tarik balik rayuan mahkamah. Khairy Jamaluddin menarik balik rayuannya di Mahkamah Persekutuan bagi mengakaskan keputusan mahkamah rendah yang mendapati beliau memfitnah Anwar Ibrahim berhubung kenyataan “main belakang” yang dibuat pada satu ceramah politik 14 tahun lepas.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Nallini Pathmanathan hari ini membatalkan dua permohonan berasingan bekas Ketua Pemuda Umno itu untuk mendapatkan kebenaran bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada Februari.

Hakim lain yang bersidang adalah Zabariah Mohd Yusof dan Rhodzariah Bujang.

Peguam cara Khairy, Tetuan Shafee & Co, menulis kepada Mahkamah Persekutuan bulan lepas mengenai penarikan balik permohonan itu dan meminta peguam Anwar mengetepikan kos.

Peguam Sarah Abishegam yang mewakili Khairy hari ini menawarkan kos RM2,000 untuk kedua-dua permohonan.

Bagaimanapun Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar meminta RM10,000 kerana mereka telah memfailkan afidavit membalas permohonan Khairy.

“Kami juga telah hadiri dua pengurusan kes,” katanya dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Panel hakim kemudian mengarahkan Khairy membayar kos RM10,000 kepada Anwar.

Dakwa 'Anwar main belakang', KJ tarik balik rayuan mahkamah

Mahkamah Rayuan sebelum ini mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Khairy bertanggungjawab atas fitnah tersebut dan ganti rugi RM150,000 yang diberikan kepada Anwar.

Hakim Darryl Goon, yang menyampaikan keputusan itu berkata, pembelaan yang dikemukakan oleh Khairy untuk mengetepikan saman Anwar gagal.

Pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat tidak dibuat, katanya.

Panel hakim yang turut dianggotai Lee Swee Seng dan Ghazali Cha menolak rayuan Khairy untuk memasukkan pembelaan komen berpatutan bagi mencabar saman itu.

Anwar juga dianugerahkan kos RM60,000.

Khairy, yang kini menteri kesihatan, membuat kenyataan itu pada ceramah di Lembah Pantai semasa kempen pilihan raya umum 2008.

Sri Ram berhujah bahawa Khairy memfitnah Anwar di hadapan khalayak Melayu dengan menggambarkan beliau sebagai seorang homoseksual dan rendah akhlaknya.

“Khairy berucap kepada khalayak yang memahami konteks rujukan terhadap Anwar itu,” katanya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata, Khairy menyatakan bahawa pakatan pembangkang ketika itu, yang terdiri daripada PAS, DAP dan PKR “berada dalam perkahwinan mutaah seperti yang diamalkan oleh mazhab Syiah”.

“Mereka kahwin pada waktu malam dan cerai pada keesokan harinya untuk menghalalkan maksiat. PAS main DAP dari kiri dan DAP main PAS dari kanan. Anwar main kedua-duanya dari belakang,” katanya memetik kenyataan Khairy.

Beliau berkata, Khairy turut berucap kepada khalayak orang Islam bermazhab Shafi’i dan merujuk kepada mazhab Syiah, yang dianggap sebagai sesat di negara ini.

Peguam J Leela, yang tampil bersama Sri Ram dalam kes itu, berkata, Khairy setakat ini hanya membayar kos RM10,000 walaupun diarah membayar RM60,000.

“Saya akan mendapatkan arahan daripada Anwar sama ada untuk menuntut bakinya,” katanya selain menambah bahawa Khairy telah menjelaskan ganti rugi dan kos yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi.

BACA:

Kecoh di mahkamah, jurugambar hentak kamera di kepala peguam Samirah

‘Adibah Noor tiba-tiba mesej nak bantu’, pemuda kenang kisah pemurah arwah

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Dakwa ‘Anwar main belakang’, KJ tarik balik rayuan mahkamah […]