Seramai 13 daripada 17 suspek yang ditahan membabitkan rampasan dadah terbesar bernilai RM201 juta menerusi serbuan di lima stor penyimpanan dan dua makmal haram di sekitar bandar raya pada 14 dan 15 Jan lepas akan didakwa esok.
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lapan akan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, manakala lima lagi mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).
Katanya, empat lagi suspek dibebaskan dan akan dijadikan saksi pendakwaan di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok.
“Seramai 13 suspek yang dituduh ini juga termasuk seorang wanita bekerja sebagai akauntan yang juga teman wanita kepada ketua sindiket ini, juga akan dituduh esok.
“Pihak polis masih giat menjalankan siasatan berhuhung kes ini dan masih mengesan suspek yang masih bebas dalam sindiket ini untuk dihadapkan ke mahkamah.
“Sehubungan itu, polis menafikan yang tangkapan dibuat pada dua minggu lalu hanya sekadar tangkapan dan tiada pendakwaan akan dibuat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.
Dalam sidang media pada 17 Jan lalu, Ayob berkata, rampasan dadah bernilai RM201 juta itu adalah yang terbesar dalam sejarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
Dalam perkembangan lain, Ayob berkata polis menahan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal dan tiga orang awam bersabit kes samun warganegara India sehingga menyebabkan kecederaan pada 25 Dis lalu.
“Semua suspek berusia 18 hingga 26 tahun akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama,” katanya. –FMT