Dua warga India ditahan oleh tentera darat ketika cuba menyeberangi Sungai Golok menuju ke Thailand pada Ahad lepas.
Menurut kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), insiden berlaku sekitar jam 10.15 malam
ketika pasukan operasi menjalankan rondaan di kawasan Sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
“Pasukan rondaan mengesan tiga lelaki berada di tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia yang cuba menyeberangi sungai ke arah Thailand.
“Seorang daripada mereka berjaya melarikan diri dengan menyeberangi sungai,
manakala dua lagi tidak sempat melarikan diri kerana membawa beg pakaian dan beberapa barangan peribadi,” menurut kenyataan itu.
Dua lelaki yang ditahan mendakwa ingin pulang ke negara asal melalui Thailand dengan bantuan seorang ejen perjalanan, yang dipercayai lelaki yang melarikan diri.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka memiliki pasport antarabangsa India yang sah hingga 2028 dan memasuki Malaysia pada tahun 2022 melalui pintu masuk sah menggunakan visa pelancong.
“Turut dirampas adalah beberapa telefon bimbit, jam tangan pelbagai jenama, serta mata wang India dan Malaysia bernilai keseluruhan RM4,746.
Semua barang rampasan dan individu yang ditahan telah diserahkan kepada IPD Tanah Merah untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan tersebut.