Cubaan rembat peti besi Pejabat Pos di Simpang Pulai gagal

Cubaan rembat peti besi Pejabat Pos di Simpang Pulai gagal

Pejabat Pos Kampung Kepayang Chandan Desa di Simpang Pulai, di sini dipecah masuk hari ini dengan penjenayah dipercayai gagal membawa lari peti besi berisi wang tunai.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada pengurus cawangan pejabat Pos berkenaan iaitu wanita berusia 35 tahun, yang menyedari insiden ketika hadir untuk memulakan tugas pada 8 pagi.

“Pengurus itu mendapati peti besi yang berada di dalam pejabat sudah berada di atas jalan dan terdapat kanvas biru menutupi pintu hadapan.

“Beliau juga mendapati pintu kaca hadapan dan ‘roller shutter’ diumpil dan terbuka, keadaan di dalam pejabat pos berselerak serta terdapat barang hilang.

“Bagaimanapun jenis barang hilang dan kerugian belum dipastikan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Yahaya berkata, hasil siasatan mendapati peti besi yang gagal dibawa lari masih berisi wang tunai dan kertas cukai jalan yang belum dikeluarkan.

“Dekoder kamera litar tertutup (CCTV) dirosakkan dan polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan penjenayah,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/719201/gagal-buka-penjenayah-tinggal-peti-besi-pejabat-pos-atas-jalan