Cubaan bunuh diri dengan kelar leher sendiri di Kota Tinggi

Seorang penganggur disyaki mengelar leher sendiri dalam kejadian di Jalan Bunga Cempaka, Felda Pasak, Kota Tinggi, Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Hussin Zamora, berkata kejadian itu disedari pada 9.45 pagi semalam oleh orang awam sebelum membuat panggilan kecemasan.

Katanya, lelaki itu dilihat berjalan menghala ke arah sebuah stesen minyak di Taman Pasak, Kota Tinggi dalam keadaan leher berdarah.

“Suspek difahamkan telah diselamatkan oleh pihak ambulans dan kemudiannya dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan.

“Suspek kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan,” katanya menurut laporan Kosmo.

Difahamkan, hasil siasatan awal mendapati lelaki itu berasal dari Felda Air Tawar 1 mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan satu kes pecah rumah serta tiga kes melibatkan penyalahgunaan dadah.

Susulan itu, polis merampas sebilah pisau berlumuran darah disyaki digunakan dalam kejadian cubaan membunuh diri itu.

“Buat masa ini, punca kejadian masih belum diketahui dan dalam siasatan polis. Kes disiasat bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri,” katanya

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/18/penganggur-kelar-diri-sendiri-ditemui-berjalan-berlumuran-darah/