Cuba jadi pendamai, pemimpin Umno tibai Tuan Ibrahim rapat punya

Cuba jadi pendamai, pemimpin Umno tibai Tuan Ibrahim rapat punya

PAS berada dalam kedudukan politik yang “sedap” dan tidak memahami situasi Umno dalam cubaannya untuk menjadi orang tengah dalam perbalahan dengan PPBM, kata Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin berkata kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menunjukkan parti Islam itu masih belum faham dan sudah sangat selesa, ketika sekutunya diganggu dan digugat PPBM.

Semalam, Tuan Ibrahim menasihati pemimpin Umno dan PPBM untuk terus mendukung kerajaan sedia ada, mengatakan PAS mahu melihat muafakat antara ketiga-tiga parti diteruskan sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

“Dia (Tuan Ibrahim) tak tau. Dia sedaplah parti dia PAS, kita ni macam mana? Mereka (PPBM) hendak ganggu dan gugat dan memperkecilkan Umno, mencuri ahli,” katanya pada sidang media di Ampang.

Tajuddin meminta pemimpin nombor dua PAS itu supaya memahami sebab Umno mengambil keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada PRU15.

“Mesti sudah difikirkan semasak-masaknya. Umno takkan buat keputusan dengan sembrono,” katanya.

“Sebelum dia (Tuan Ibrahim) hendak berikan saranan itu, dia kena faham apa masalahnya. Kalau dia tak tau apa masalahnya apa pun dia cakap tidak akan membawa apa-apa kejayaan.”

Mengulas kenyataan bekas timbalan presiden Musa Hitam bahawa Umno perlu ketepikan pemimpin yang sedang menghadapi pendakwaan di mahkamah sehinggalah terbukti tidak bersalah demi menyelamatkan parti Melayu itu, Tajuddin menganggapnya sebagai pandangan peribadi.

Katanya, pemimpin Umno tidak boleh ‘dihukum’ selagi belum terbukti bersalah di mahkamah.

Musa mengajukan saranan itu supaya Umno memperoleh kepercayaan pengundi dan kembali dihormati.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/09/pas-dah-sedap-tapi-bagaimana-dengan-umno-tajuddin-jawab-tuan-ibrahim/