Covid-19 : Kita nak buat macam mana? Benda tu nak mai, benda tu tak nampak – MB Kedah

Covid-19 : Kita nak buat macam mana? Benda tu nak mai, benda tu tak nampak – MB Kedah

Penularan jangkitan Covid-19 di Kedah tidak dapat dielak memandangkan ia tidak dapat dijangkakan, kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor.

Menurut pemimpin Pas itu, penyakit seperti denggi mencatatkan jumlah lebih tinggi berbanding kes jangkitan Covid-19.

“Kluster Tembok ni, orang kata Kedah tak pandai buat kerjalah, apa. Kita nak buat macam mana? Benda tu nak mai. Benda tu tak nampak.

“Kita bukan nak dosa apa. Dia pandemik dan ada orang mati lebih banyak denggi, malaria, H1N1, taun, TB (batuk kering)…dan apa lagi yang tidak ada ubat nak merawatnya pun,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Kluster Tembok mula dicatatkan pada 30 September lalu dengan kes indeks ialah seorang lelaki warganegara Malaysia iaitu kes ke 11,207 yang juga kes kematian ke-135 pada tarikh sama.

Hari ini Kluster Tembok antara lapan kluster aktif dengan 139 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 1,186 kes.

Kedah hari ini mencatatkan 153 kes baharu Covid-19 dengan 14 kes daripadanya pula dari Kluster Bah Sintok.

Mengulas lanjut, Sanusi menyifatkan orang ramai akhirnya perlu menerima realiti bahawa virus itu berada di sekeliling.

“Lama-kelamaan kita kena terima Covid-19 ni ada di sekitar kita dan kita menimbulkan stigma yang berlebihan,” ujarnya.

Beliau juga berpendapat pesakit Covid-19 kini dilihat seperti individu yang melakukan dosa walaupun mereka tidak melakukan apa-apa sebelum dijangkiti.

Jelasnya, sentimen itu juga berlaku terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dijangkiti Covid-19 pada 5 Oktober selepas ke Tuaran, Sabah pada 24 September.

Sehubungan itu, Sanusi berharap sentimen tersebut dihentikan kerana Covid-19 bukan seperti HIV yang berlaku kerana seks songsang.

“Pandangan awam sekarang seolah-olah orang yang positif Covid buat dosa dan patut dikecam, termasuk menteri agama pun orang kecam bukan dosa apa, dia terkena.

“Siapa pun yang minta kena Covid? Tuan-tuan pun tak minta. Kalau di kalangan tuan-tuan ni ada yang kena Covid, bukan kehendak kita.

“Kita buat kerja, tiba-tiba terkena kepada pandemik. Ini bukan Aids atau HIV (yang mana) antara penularan HIV ni (dari) seks songsang. Ini haram, tak boleh, dosa.

“Saya rasa ini patut dihentikan. Kita tak minta sakit itu,” kata Sanusi lagi yang dikesan tidak mengenakan pelitup muka semasa tinjauannya di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda pada 5 Oktober lalu.

Berita penuh : https://cabaidaily.com/covid-19-bukan-macam-hiv-akibat-seks-songsang/