COVID-19 : Keharusan Menghentikan Solat Jumaat & Solat Jemaah – Majlis Ulama Al Azhar

Segala puji hanya bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW.

Berikutan daripada laporan kesihatan yang pesat mengenai kepantasan penularan wabak virus Covid-19 yang telah dikategorikan sebagai ‘pandemik’, juga dengan kekerapan kajian perubatan mengenai bahaya virus itu yang pantas tersebar dan mudah berjangkit, dan mereka yang dijangkiti tidak mudah disedari bahawa ia sedang dijangkiti, maka dengan itu dia menjadi ejen sebaran virus.

Sedangkan, salah satu maqasid Syariah (objektif pensyariatan) yang paling utama adalah memelihara jiwa dari sebarang bahaya dan kerosakan, maka Majlis Ulama Senior al-Azhar al-Syarif –daripada rasa tanggungjawab syarak yang dipikulnya – memaklumkan kepada semua pihak berwajib mengenai keharusan di sisi syarak untuk menghentikan solat Jumaat dan solat secara berjemaah di semua daerah berikutan dari penularan dan serangan virus ke atas jiwa dan negara.

Bagi mereka yang mengidap penyakit serta warga emas, diwajibkan agar menetap di kediaman masing-masing dan mematuhi segala prosedur penjagaan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa diseluruh negara, serta tidak keluar untuk menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah setelah apa yang diputuskan menerusi data perubatan dan bancian rasmi dari penyebaran wabak ini yang telah menyebabkan kematian ramai orang seluruh dunia.

Adalah cukup dan memadai dalam menganggarkan risko wabak ini menerusi “sangkaan yang kuat” dan penyaksian : seperti peningkatan angka kes kumulatif, kebarangkalian jangkitan dan perkembangan virus.

Sehubungan dengan itu, wajiblah ke atas pihak berkuasa di setiap negara untuk mengerah sepenuh tenaga dan mengambil langkah waspada dan berjaga-jaga bagi mengelak penularan virus.

Para ulama yang muhaqqiqin sebulat suara menyatakan “perkara yang dijangka bakal berlaku, sama halnya dengan yang telah berlaku, dan apa yang hampir dengan sesuatu maka akan mengambil hukumnya”.

Sesungguhnya, kesihatan badan adalah sebahagian dari sebesar-besar maqasid syariat Islam.

Dalil keharusan menangguh solat Jumaat dan solat berjemaah bagi membendung penularan virus adalah apa yang telah diriwayatkan dalam sahih al-Bukhari dan Muslim : Bahawanya Ibn Abbas telah berkata kepada muazzinnya pada hari hujan : “Apabila engkau selesai membacakan :

أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَدًّا رَسُوْلُ اللهِ
Maka janganlah engkau berkata:
حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ
Sebaliknya, katakanlah :
صَلُّوا في بُيُوْتِكُمْ
“Solatlah di rumah rumah kalian”

Maka orang seakan akan mengingkarinya. Oleh itu dia berkata: Ini telah dilakukan oleh mereka yang lebih baik dan mulia daripadaku. Sesungguhnya solat Jumaat itu adalah bebanan (‘azimah) maka aku tidak suka mengeluarkan kalian, maka dengan sebab itu kalian berjalan dalam selut dan kawasan licin.”

Maka hadis ini telah menunjukkan kepada arahan meninggalkan solat jemaah bagi mengelak kesusahan atas sebab hujan. Tidak syak lagi, bahaya virus adalah lebih besar dari kesusahan pergi solat dengan sebab hujan. Maka, keringanan untuk meninggalkan solat jemaah dan solat Jumaat di masjid tatkala berlaku wabak adalah arahan syarak lagi diterima akal dan fiqh. Dan ganti baginya adalah 4 rakaat Zohor di rumah atau di lokasi-lokasi lain yang tidak sesak.

Fuqaha juga telah memberi kesimpulan bahawa bahaya ke atas jiwa, harta dan ahli keluarga adalah keuzuran yang membenarkan untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Ibn Abbas, daripada Nabi SAW : “Sesiapa yang mendengar muazzin maka tidaklah ada yang menghalangnya daripada keuzuran. Mereka bertanya : Apakah keuzuran? Jawab Baginda : Takut dan sakit. Maka tidak akan diterima daripadanya solat yang telah dikerjakan.

Bukan sahaja itu, malah Nabi SAW telah melarang sesiapa yang mempunyai bau-bauan busuk yang menyakiti manusia dari melaksanakan solat di masjid. Larangan tersebut bagi menghalang kemudharatan ke atas orang lain. Imam al-Bukhari telah meriwayatkan dari Jabir Ibn ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- bahawasanya Baginda pernah bersabda : “Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja”.

Konteks yang didatangkan di dalam hadith adalah bentuk larangan spesifik yang perlu dihindari dari perlaksanaan solat. Maka, apa tanggapan kamu sekiranya ia adalah wabak penyakit yang menular? Wabak penyakit yang menyebabkan akan berlakunya bencana-bencana yang terkeluar dari sempadan kawalan. Semoga Allah SWT menjauhi kita semua dari wabak ini.

Kegelisahan yang berlaku pada waktu ini adalah terhasil disebabkan dari penularan virus yang terlalu pantas dan sehingga kini ianya masih belum ada vaksin atau anti virus yang berkesan bagi pencegahan dan rawatan. Justeru itu, umat islam diberi keuzuran dan keizinan oleh syara’ untuk tidak menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid.

Oleh yang demikian, Majlis Ulama Senior al-Azhar al-Syarif dengan ini membuat kesimpulan bahawasanya adalah harus di sisi syarak untuk Daulah (Negara) menghentikan untuk satu tempoh sementara solat Jumaat dan solat berjemaah apabila ia melihat bahawa berhimpun untuk perkara itu akan membawa kepada menular dan tersebarnya virus yang merbahaya ini.

Pada masa yang sama Hai’ah dengan ini memperingatkan tiga perkara :

1. Pertama : Wajib melaungkan Azan pada setiap waktu solat di masjid-masjid pada situasi dihentikan solat Jemaah dan Jumaat dan harus juga untuk muezzin menyebut pada setiap azan

“صَلًّوْا في بُيُوْتِکُمْ”.

2. Kedua : Bagi setiap ahli rumah yang hidup secara bersama teruskanlah solat berjemaah di rumah kerana tidak semestinya solat berjemaah itu dilakukan di masjid sehinggalah ditamatkan sekatan sementara ini dengan izin Allah dan bantuanNya

3. Ketiga : Adalah menjadi satu kewajipan syarak ke atas setiap warga negara untuk mematuhi arahan panduan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk mengekang penularan virus dan menghapuskannya.

Begitu juga wajib ke atas mereka untuk memastikan bahawa hanya mengambil maklumat dari sumber yang rasmi dan menjauhi menyebarkan berita-berita palsu yang hanya menimbulkan kebimbangan dikalangan masyarakat dan membawa kepada kekacauan dan ketidakstabilan.

Majlis Ulama Senior al-Azhar al-Syarif dengan ini menyeru seluruh muslimin muslimat seluruh dunia untuk sentiasa memelihara solat lima waktu dan tunduk memohon kepada Allah dengan memperbanyakkan berdoa.

Majlis juga menyeru untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada pesakit dan memperbanyakkan amal-amal soleh dan kebajikan supaya Allah mengangkat bala ini dari alam seluruhnya dan menjaga negara kita dan manusia seluruhnya dari wabak ini juga memelihara kita semua dari semua penyakit dan wabak.

Sesunggunya Allah lah sebaik-baik tempat memohon dan seagung-agung tempat kita meletakkan harapan.

فَاللَّهُ خَيْرٌ حَافِظًا وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Majlis Ulama Senior Al-Azhar Al-Syarif,
Ahad 15/3/2020.

Pautan asal : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3325171640830239&id=978594902154603&ref=bookmarks

COMMENTS

Wordpress (0)