“Cerun runtuh awal dari yang dijangkakan”

“Cerun runtuh awal dari yang dijangkakan”Insiden kegagalan cerun yang mengakibatkan tanah runtuh di Seksyen 43.9 Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, semalam, disifatkan berlaku ‘terlalu awal’ ketika langkah sedang diambil bagi perancangan penambahbaikan kawasan itu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Zulkipli Nasri, berkata sebelum ini Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan kira-kira RM130 juta bagi projek pengukuhan dan pembaikan cerun di kawasan terbabit.

Katanya, ia susulan insiden serupa yang kerap berlaku di sekitar kawasan berkenaan membabitkan lingkungan jarak kira-kira 600 meter.

Beliau berkata, JKR sedang pada peringkat mereka bentuk, di samping mengadakan perbincangan terperinci dan rundingan bersama kontraktor yang sudah dipersetujui.

“Kita menjangka sijil setuju terima akan diberikan kepada kontraktor terbabit pada pertengahan Disember depan, di mana pembinaannya dijangka mengambil tempoh tiga tahun hingga Disember 2024, bagi memperkukuhkan kawasan ini.

“Kita memang ada perancangan untuk menambah baik cerun ini. Namun pada masa sama, perkara (insiden) ini berlaku ‘terlalu awal’ disebabkan mungkin banyak elemen seperti hujan dan sebagainya yang menjadi pemangkin kepada kegagalan cerun berlaku lebih cepat berbanding perancangan kita,” katanya.

Cerun

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengiringi Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, meninjau lokasi kejadian, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkipli berkata, tindakan awal sudah diambil dengan menutup jalan terbabit sehingga keadaan dikenal pasti selamat untuk laluan berkenaan digunakan semula.

Selain itu, beliau berkata, tindakan diambil untuk ‘realignment’ atau mengalih kedudukan jalan kepada laluan alternatif yang terdapat berdekatan lokasi insiden.

“Itu antara tindakan awal diambil bagi mengurangkan risiko susulan insiden ini. Pembukaan laluan alternatif yang sedikit ke dalam daripada kawasan cerun ini nanti hanya dikhususkan untuk dilalui kenderaan ringan.

“Siasatan lanjut akan dibuat terlebih dahulu, termasuk berbincang dengan pakar cerun JKR pusat dari segi kaedah akan diguna pakai bagi membolehkan laluan alternatif itu digunakan kelak.

“Ia mengambil kira keperluan pengguna jalan ini, terutama untuk aktiviti ekonomi di Cameron Highlands khususnya penghantaran menggunakan lori sayur, serta keperluan sektor pelancongan di sana,” katanya.

Mac lalu, media melaporkan Kementerian Kerja Raya sudah memasang Sistem Amaran Awal (EWS) Tanah Runtuh di sekitar lokasi cerun runtuh di Seksyen 44 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) di daerah Kinta.

Ia susulan insiden tanah runtuh di cerun jalan terbabit dengan anggaran kedalaman runtuhan setinggi 250 meter dan sepanjang 600 meter.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/865934/kegagalan-cerun-berlaku-terlalu-awal-jkr

BACA: Gempar !!! Kerajaan negeri Terengganu kena saman RM44 juta

COMMENTS

Wordpress (0)