Calon SPM boleh hadir ke sekolah walaupun PKP

Pelajar dan calon peperiksaan utama dibenarkan untuk hadir ke sekolah, biarpun mereka berada dalam negeri yang dikategorikan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pengumuman khas yang disiarkan secara langsung hari ini, beliau berkata, peperiksaan utama itu termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi 2020/21.

Perdana Menteri berkata, kumpulan pelajar berkenaan dibenarkan hadir ke sekolah dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperincikan SOP ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, enam negeri yang dikategorikan sebagai negeri PKP ialah – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Enam negeri yang dikategorikan sebagai PKP Bersyarat (PKPB) pula ialah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan, manakala dua negeri di bawah kategori PKP Pemulihan (PKPP) ialah Perlis dan Sarawak.

Bagi aktiviti keagamaan, Perdana Menteri berkata, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri PKP dengan jumlah maksimum lima orang.

Bagi negeri yang dikenakan PKPP dan PKPB pula, jelasnya lagi, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum yang ditetapkan di dalam SOP.

“Pihak berkuasa agama negeri disaran untuk memberi penetapan yang bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan,” kata Muhyiddin.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberikan jaminan bahawa bekalan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi.

Beliau berkata, pemantauan terhadap barangan keperluan pengguna seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, hand sanitizer dan pelitup muka akan dilakukan setiap hari.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pkp-20-pelajar-calon-peperiksaan-utama-dibenar-hadir-ke-sekolah-pm-277182

COMMENTS

Wordpress (0)