Bukan idea yang baik, kata pakar kesihatan berhubung cadangan pasport vaksin

Bukan idea yang baik, kata pakar kesihatan berhubung cadangan pasport vaksin

Dua pakar kesihatan awam mengutarakan kebimbangan atas cadangan mengeluarkan “pasport vaksin” untuk pengembara yang telah menerima vaksin Covid-19.

Kebimbangan bahawa pasport itu boleh dianggap bersifat diskriminatif adalah antara isu yang dibangkitkan oleh Dr Awang Bulgiba Mahmud dari Universiti Malaya dan Dr Chan Chee Khoon dari Citizens Health Initiative dalam temu bual dengan FMT.

Kedua-dua pakar epidemiologi tersebut membincangkan implikasi etika dan isu pelaksanaannya.

Dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sedang berjalan secara rasmi, banyak pihak dalam industri pelancongan dan penerbangan menyuarakan optimisme bahawa pasport vaksin boleh menjadi kunci untuk menghidupkan kembali industri pelancongan antarabangsa.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) sudah mengembangkan sistem seperti itu dan merancang untuk melancarkan aplikasi mudah alihnya bulan depan.

Awang Bulgiba berkata, seseorang boleh mempersoalkan sama ada sistem seperti itu boleh dilaksanakan, memandangkan ketidakpastian berkenaan jumlah vaksin berlainan yang sedia ada.

“Banyak vaksin Covid-19 telah dihasilkan, tetapi ada yang berasal dari negara yang badan pengawal selia perubatannya tidak diiktiraf oleh pihak lain,” katanya.

Beliau berkata, ada negara mungkin tidak menerima orang yang diberi vaksin yang mereka sendiri tidak luluskan.

Tambahnya, sistem itu akan merugikan mereka dari negara lebih miskin yang kerajaannya kurang berkemampuan mendapatkan vaksin.

“Sebilangan besar bekalan vaksin Covid-19 di dunia dibeli oleh negara maju dan lebih kaya, meninggalkan selebihnya menjadi rebutan negara lebih miskin,” katanya.

“Sehingga semua negara dapat memberi vaksin kepada populasi mereka, pasport vaksin dapat dilihat bersifat diskriminatif dan menghalang pertumbuhan dan pemulihan negara miskin kerana rakyat mereka yang tidak divaksinasi mungkin dihalang daripada melakukan perjalanan.”

Katanya lagi, vaksin mungkin tidak berkesan terhadap mutasi virus pada masa depan. Vaksinasi tidak menjamin pengembara tidak akan dijangkiti varian antarabangsa dan membawanya pulang ke negara masing-masing, terutamanya apabila prosedur operasi standard untuk pencegahan tidak sama di setiap negara.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar gelembung perjalanan bersaling diwujudkan antara negara yang memiliki imuniti kelompok melalui vaksinasi.

Ini boleh dikembangkan untuk merangkumi lebih banyak negara kemudian.

Chan bersetuju dengan semua hujah itu, sambil menambah, perlu diingat bahawa vaksinasi mungkin akan dilanjutkan selepas fasa pelancaran awal, sekiranya pusingan inokulasi akan datang diperlukan.

“Kita juga perlu memikirkan implikasi ekuiti pelaksanaan sesuatu seperti ini,” katanya.

“Mereka yang cenderung mengembara, baik untuk urusan perniagaan mahupun santai, selalunya lebih berada. Jika mereka mempunyai pengaruh ke atas polisi, ini mungkin akan menyulitkan pihak lain untuk mendapat akses kepada vaksin.”

Beliau berkata, akhirnya, ini dapat dilihat sebagai perlumbaan vaksin versi tempatan yang sedang berlaku di peringkat global, dengan golongan lebih kaya dalam negara mampu membeli vaksin agar mereka dapat mengembara, sekali gus mengurangkan bekalan untuk mereka yang kurang berkemampuan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/25/pasport-vaksin-mungkin-bukan-idea-baik-kata-pakar-kesihatan/