Buka segera parlimen, nanti dapat ‘kad merah’ – Najib

Bekas perdana menteri, Najib Razak memberi amaran kepada kerajaan bahawa ia akan dikenakan “kad merah” melainkan Parlimen dibuka semula secepat mungkin ketika Ahli Parlimen kedua-dua belah pihak terus memberi tekanan supaya persidangan Dewan Rakyat diadakan segera.

Mengulas peringatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini, yang mengulangi pendirian bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin, Najib berkata, ia membolehkan Ordinan Darurat yang sudah diwartakan kerajaan dalam tempoh darurat (termasuk pengisytiharan darurat) dibahas, diundi dan diluluskan di Parlimen secepat mungkin.

“Ini dah ‘yellow card’ ke berapa ini?” katanya dalam catatan di Facebook.

“Jangan sampai terkeluar ‘kad merah’,” katanya menggunakan analogi bola sepak.

parlimen

Sementara itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ini adalah kali ketiga Yang di-Pertuan Agong menegaskan pendiriannya mengenai persidangan Parlimen.

“Saya harap tidak ada lagi alasan dan tafsiran berbeza daripada menteri. Berhentilah memperbodohkan rakyat,” kata Presiden PKR itu di Facebook.

Walaupun Anwar tidak menyebut siapakah yang dimaksudkannya, beliau mungkin merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan yang berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak menetapkan tarikh jelas dalam titahnya pada 16 Jun bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin.

Setiausaha agung PAS itu sedang disiasat polis susulan kenyataan itu.

Kenyataan Istana Negara pada 16 Jun mengatakan bahawa Agong mahu Parlimen dibuka semula secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

Pada 24 Februari lalu, Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat perdana menteri.

Kenyataan Istana Negara hari ini adalah susulan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, timbalannya Azalina Othman Said dan Rashid Hasnon, serta Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim dan timbalannya Mohamad Ali Mohamad, dipanggil ke menghadap Sultan Abdullah pagi tadi.

Selain menyatakan bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadli Shamsuddin hari ini berkata, Agong juga berpandangan semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen hendaklah meneruskan sesi mesyuarat untuk melaksanakan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin berkata, kini bergantung kepada rakyat untuk menilai kerajaan.

“Mereka masih berlagak seperti orang pekak dan bodoh,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun berkata, kerajaan perlu menghormati titah Agong dan “tidak berterusan mengabaikannya”.

“Walaupun sebelum ini baginda berkata secepat mungkin, Julai adalah lebih baik daripada menunggu hingga Ogos,” kata Ahli Parlimen DAP itu.

Minggu lalu, Azhar dan Rais mencadangkan persidangan khas Parlimen diadakan pada awal Ogos untuk membincangkan bagaimana sesi Parlimen hibrid (separuh dalam talian dan separuh secara fizikal) boleh diadakan.

Menurut mereka, persidangan khas itu mungkin membincangkan pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat bagi membolehkan pertemuan hibrid seperti itu boleh diadakan pada hujung Ogos atau awal September.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/29/buka-semula-parlimen-jangan-sampai-terkeluar-kad-merah-kata-najib/

BACA JUGA : Parlimen bersidang : Saranan Raja Melayu ikut perlembagaan