Buka CAC di kawasan perumahan dapat bantahan penduduk

Pembukaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Taman Sri Andalas di sini mendapat bantahan daripada 1,500 penduduk setempat.

Bantahan itu susulan lokasi dewan yang tidak sesuai dan berhampiran dengan rumah yang menjadi laluan utama penduduk keluar masuk.

Tangkap layar orang ramai beratur bagi mengunjungi CAC di Dewan Sukan Taman Sri Andalas, Klang.

Tindakan tersebut juga menyebabkan surau yang terletak 50 meter dari CAC itu terpaksa ditutup serta-merta bagi mengelakkan kegusaran lokasi tersebut dikunjungi oleh para pesakit Covid-19 yang menjalankan penilaian kesihatan mereka.

Pengerusi Surau An-Naim Taman Seri Andalas, Saijan Sikon berkata, CAC tersebut yang baharu sahaja beroperasi pada hari ini telah menyebabkan kesesakan dengan orang ramai beratur sejauh 200 meter sejam awal daripada pembukaan CAC pukul 8 pagi.

Katanya, keadaan itu seterusnya mencetuskan kebimbangan dan menganggu keselesaan penduduk dalam urusan harian mereka.

“Hendak keluar pun takut begini dan sememangnya tidak sesuai CAC dibuka berhampiran kawasan penempatan yang berkemungkinan menimbulkan kluster baru di sini.

“Kita berharap pihak berkuasa menilai semula pembukaan CAC itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Sementara itu, pembukaan CAC itu tular di laman sosial Facebook menerusi dua vdieo berdurasi masing-masing tujuh dan 27 saat menunjukkan orang ramai beratur di kawasan tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni dalam kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan perbincangan telah diadakan antara wakil penduduk Seri Mersing Taman Andalas dengan pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) menerusi memorandum bantahan penduduk berkenaan isu tersebut.

“Hasil perbincangan, pihak PKD mengakui kesilapan kerana tidak melibatkan perbincangan bersama ADUN kawasan dan penduduk sebelum mencadangkan pembukaan CAC tersebut.

“Pihak PKD juga bersetuju untuk menyemak semula dan cadangan memindahkan ke lokasi lain bagi CAC berkenaan tetapi memohon diberikan sedikit masa untuk mencari lokasi yang sesuai,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Zawawi berkata, PKP terbabit akan melakukan tindakan segera termasuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) bagi pesakit yang hadir ke CAC dan penambahbaikan dari segi keadaan lalu lintas dengan kerjasama pihak polis dan Majlis Perbandaran Klang.

“Selain itu, pelan laluan sesuai juga akan dilakukan bagi membolehkan surau dibuka dan tidak menganggu penduduk sekitar,” katanya.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/07/12/penduduk-bantah-cac-di-kawasan-perumahan/

BACA JUGA : Longgarkan sekatan pergerakan bagi individu lengkap dos vaksin