Bros Gang TV angkat budaya barat, perangkap wanita dengan wang – WARDA

Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional mendesak agar penyedia kandungan video platform dalam talian Youtube (Youtuber) Bros Gang TV yang cuba memerangkap wanita dengan menawarkan wang RM20,000 baru-baru ini, segera melakukan permohonan maaf dan memadam video itu.

Naib Ketua WARDA, Nur Najihah Muhaimin berkata, video tersebut adalah tidak wajar kerana jelas mengangkat budaya Barat sekali gus tidak selari dengan budaya dan agama Islam.

Malah menurutnya, kandungan video itu dianggap sengaja menjatuhkan maruah wanita dengan menjadikan mereka mangsa dan diperangkap untuk menaikkan rating serta pendapatan saluran YouTube kumpulan itu.

“Hentikan kandungan video yang berunsur begini. Mempermainkan emosi dan memperbudakkan wanita.

“Dalam video ini, jelas menunjukkan sikap yang tidak profesional dan tidak matang dalam industri pemasaran digital. Ini contoh konten pemasaran yang murah, tidak beretika dan sangat memalukan,” tegasnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Sehubungan itu, WARDA katanya, mendesak agar pihak Bros Gang TV memadamkan video tersebut dan membuat permohonan maaf kepada awam atas tindakan yang tidak beretika.

Tular di media sosial video ‘Experiment Gold Digger’ terbitan sekumpulan anak muda dikenali ‘Bros Gang YouTube’ sejak 20 Julai lalu yang mengundang kecaman orang ramai.

Mereka didakwa ingin tampil berbeza dengan idea mahu menguji kesetiaan pasangan dalam bercinta.

Setakat malam ini, video berdurasi hampir sejam itu mendapat 1.6 juta tontonan dengan lebih 32,000 komen yang rata-rata mengutup Youtuber tersebut.

Untuk rekod, mereka setakat ini sudah tampil dengan tiga episod eksperimen sosial dan episod kali ini merupakan yang keempat.

Berita penuh :

https://malaysiadateline.com/warda-anggap-bros-gang-tv-melampau-jatuhkan-maruah-wanita-demi-jana-wang/