Bila opah kena strok semua ‘laju’ balik kampung Sibuk dengan agenda bincang harta

Oleh GEMILANGDAILY

Anak cucu berkumpul beramai-ramai sering menjadi impian warga emas.

Namun, keadaan ini sukar direalisasikan, terutama semasa perayaan, akibat kesibukan masing-masing.

Baru-baru ini, seorang lelaki berkongsi pengalaman keluarganya di laman X, susulan neneknya disahkan menghidap strok dan memerlukan penjagaan.

“Selepas bertahun-tahun, akhirnya rumah aku penuh dengan ibu dan bapa saudara semasa hari raya.

Opah kelihatan sangat gembira melihat anak-anak dan cucunya berkumpul.

Bila opah kena strok semua ‘laju’ balik kampung Sibuk dengan agenda bincang harta

Tapi, kegembiraan itu cuma sementara,” tulisnya, mengenang kenangan yang akhirnya mencetuskan perbalahan keluarga.

Menurut pemuda tersebut, pertemuan itu berubah menjadi tegang apabila topik mengenai pembahagian harta pusaka nenek mula dibangkitkan.

“Rupa-rupanya, tujuan utama mereka berkumpul adalah untuk membincangkan harta opah, bukan tanggungjawab menjaga opah. Bayangkan betapa sedihnya opah aku. Aku hadir hanya untuk mewakili arwah mak aku,” katanya dengan nada kesal.

Tambahnya lagi, konflik semakin meruncing apabila salah seorang bapa saudaranya, Pak Su, dituduh menyeleweng duit persaraan nenek, sedangkan dia merupakan individu yang menjaga nenek selama ini.

“Mereka semua dah berumur 50 hingga 60 tahun, tapi masih bergaduh soal harta. Sedihnya, yang menjaga opah selama ini hanyalah aku, abang aku, dan Pak Su. Orang lain cuma sibuk berbincang tentang harta,” luahnya.

Pemuda itu turut berkongsi bahawa dia pernah menjaga neneknya yang lumpuh akibat strok, atas permintaan nenek sendiri, sambil menguruskan kerjaya dari rumah.

Luahannya menarik perhatian warga maya yang turut bersimpati.

“Orang tua masih hidup, dah sibuk bincang harta. Tanggungjawab jaga, semua tolak tepi. Memang biasa, yang tak jaga itulah yang paling kecoh soal harta,” komen seorang pengguna.

“Bab harta pusaka memang selalu jadi punca hubungan keluarga renggang. Nanti yang paling sedikit menjaga pun nak jadi yang paling lantang tuntut harta,” tambah seorang lagi

BACA: Timbalan Menteri KPKT dedah bila projek Residensi Hektar mula jalan kerja balik