Bicara belum bermula, pendakwaraya diminta rayu keputusan bebaskan Musa Aman

PENDAKWARAYA DIMINTA RAYU KEPUTUSAN BEBASKAN MUSA AMAN

1. Negara hari ini terperanjat dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. Dalam permohonan hari ini, dilaporkan pihak Timbalan Pendakwaraya memohon untuk semua pertuduhan digugurkan dengan perintah ‘DNAA’ iaitu Discharge not amounting to Acquittal (dilepaskan tanpa dibebaskan), namun atas permohonan peguambela untuk perintah ‘DAA’ iaitu Discharged and Acquitted (dilepaskan dan dibebaskan), Mahkamah telah membebaskan dan melepaskan Musa Aman.

2. Peguam Negara hari ini telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan permohonan penarikan balik semua pertuduhan terhadap Musa Aman. Walaubagaimanapun, oleh kerana permohonan asal pihak Pendakwaan adalah untuk perintah DNAA, adalah lebih adil dan wajar untuk pihak Pendakwaan merayu terhadap keputusan tersebut memandangkan bicara masih belum bermula di mana keterangan masih belum dikemukakan. Peguam Negara dengan segala hormat diminta untuk berpegang kepada keputusan asal yang dibuat.

3. Rayuan ini penting kerana kesan DAA dari sudut undang-undang adalah beliau tidak lagi boleh didakwa atas kesalahan dan pertuduhan yang sama. Tidak seperti DNAA, seseorang yang didakwa walaupun dilepaskan oleh Mahkamah, boleh didakwa semula jika ada perkembangan positif atau keterangan baharu dalam kes tersebut.

4. Memandangkan pertuduhan yang dikenakan terhadap Musa Aman melibatkan jumlah wang yang besar sebanyak USD50.1 juta dan ia merupakan satu kes kepentingan awam, maka adalah lebih adil dan wajar rayuan dibuat. Ia juga penting bagi meletakkan kembali keyakinan umum terhadap integriti sistem keadilan negara.

5. Apatah lagi, salah seorang peguambela Musa Aman mendakwa wang tersebut adalah sumbangan dana politik. Walaupun beliau mendakwa sumbangan dana politik bukan suatu kesalahan, namun Mahkamah Persekutuan dalam kes bekas Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris memutuskan sumbangan untuk tabung Umno Selangor sebagai rasuah. Di samping itu, seksyen 3 Akta SPRM 2009 menafsirkan derma sebagai suapan. Oleh kerana pertuduhan terhadap Musa Aman belum diputuskan atas merit, maka adalah lebih adil dan wajar keputusan ini dirayu supaya pendakwaan boleh dikaji semula jika perlu dan sesuai.

Sumber: