Bicara 1MDB libatkan Najib ditangguh lagi, Hakim luah rasa tak ‘gembira’

Bicara 1MDB libatkan Najib ditangguh lagi, Hakim luah rasa tak ‘gembira’.

Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membabitkan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion sekali lagi ditangguh sebelah pagi ini.

Sepatutnya prosiding yang bermula sekitar jam 9.30 pagi terpaksa ditunda oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah selepas mendapat tahu Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekitar 11 pagi.

Bagaimanapun, Najib tidak hadir untuk mohon penangguhan tersebut sebaliknya mewakili peguam belanya, Rahmat Hazlan dan Tania Scivetti.

Bicara

Hakim Collin ketika mendengar permohonan penangguhan kelihatan tidak begitu gembira apabila mendapat tahu Najib tidak hadir ke perbicaraan seperti yang telah ditetapkan oleh mahkamah semalam.

“Sepatutnya tertuduh datang ke sini (mahkamah) dulu. Memanglah beliau telah dipanggil menghadap dan perlu taat dengan perintah itu. Tetapi bukankah saya juga perlu diberikan notifikasi?

“Daripada laporan akhbar, dengarnya pertemuan YDPA dengan wakil rakyat mengikut slot masa tertentu jadinya patut anak guam anda memberitahu saya tentang bilakah waktu beliau akan berada di Istana, sampai bila dan bila kita boleh teruskan prosiding di sini.

“Saya hendak tertuduh kembali ke mahkamah untuk teruskan perbicaraan, hari ini mungkin saya tidak akan berhenti pada jam 4 petang,” katanya di hadapan peguam bela.

Collin kemudian memberikan masa 10 minit untuk Rahmat menghubungi Najib untuk mengetahui maklumat berkaitan kehadirannya ke istana dan waktu sesuai kembali menyambung perbicaraan pada hari ini.

Hakim kemudian menetapkan 2.30 petang untuk menyambung kembali perbicaraan dengan saksi pendakwaan ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman menyambung keterangan dan pemeriksaan balas.

Najib ketika ini sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pagi ini kumpulan pertama ahli-ahli Parlimen BN yang tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini tiba kira-kira pukul 10.45 pagi.

Dalam perkongsian di Facebook BN, mereka yang tiba menggunakan bas melalui Pintu 2 Istana Negara itu berlepas dari Menara Dato’ Onn dengan Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN mengetuai kumpulan pertama itu.

Dijangka Pengerusi Barisan Nasional yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menghadap sekitar pukul 2 petang nanti.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2021/08/19/1mdb-hakim-tidak-gembira-tangguh-prosiding-hingga-2-30-petang/

Baca Juga : PM ke-9 : Hari ini jadi penentu, tumpuan di Istana Negara

Artikel ini disiarkan pada 19/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)