Bertemu warga kementerian, Menteri Pertanian harap ini bukan pertemuan terakhir

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berharap Amanat 2021 yang disampaikannya untuk warga kementerian itu buat pertama kali tidak akan menjadi yang terakhir berikutan kemelut politik yang melanda Perikatan Nasional (PN).

“Ini merupakan amanat dan pertemuan kita yang pertama di MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan).

“Walaupun saya dan rakan-rakan masuk di kementerian ini awal bulan Mac yang lalu tapi keadaan Covid-19 tidak membenarkan perhimpunan seperti ini diadakan.

“Ini merupakan kali pertama tahun ini, tahun 2021 dan saya harap ia bukannya kali yang terakhir,” katanya sambil tersenyum simpul ketika menyampaikan Amanat Tahun 2021 kepada warga MAFI di sini hari ini.

Ronald merupakan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Ahli Parlimen Beluran.

Baru-baru ini, Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO bersetuju dengan usul untuk memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun menjelaskan keputusan muktamad atau keabsahan berhubung usul berkenaan perlu diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan diadakan pada 31 Januari depan.

Terbaharu Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan kepada PN.

Jejaknya dijangkakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akan diikuti oleh beberapa lagi Ahli Parlimen parti itu.

Jelas Tajuddin, beliau beliau mendengar khabar mengenai perkara itu namun tiada pengesahan mengenai identiti wakil rakyat terbabit.

Untuk rekod, penarikan sokongan Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu menyaksikan kerajaan PN ketika ini memiliki sokongan 110 daripada 220 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2021/01/11/ronald-kiandee-harap-hari-ini-bukan-pertemuan-terakhir-dengan-warga-mafi/

COMMENTS

Wordpress (0)