Bersih cadang Speaker, Timb Speaker dilantik rentas parti

Sidang

Bersih cadang Speaker, Timbalan Speaker dilantik rentas parti. Sekarang waktu paling tepat untuk ahli Dewan Rakyat melantik Yang di-Pertua (YDP) dan Timbalan Yang di-Pertua (TYDP) Dewan Rakyat dengan semangat rentas parti.

Demikian pandangan disuarakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang berkata, jawatan-jawatan itu tidak harus dilihat sebagai monopoli parti-parti dalam kerajaan.

Jauh sekali untuk menunjukkan kekuasaan terhadap parti pembangkang, kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan hari ini.

Bersih cadang Speaker, Timb Speaker dilantik rentas parti

“Sebaliknya, pelantikan Yang di-Pertua dan timbalannya harus bersemangat rentas parti untuk memperkasakan Parlimen dan menjadikan Parlimen lebih bebas untuk menyemak dan mengimbang Eksekutif,” kata Bersih 2.0.

Kenyataan itu turut mempersoalkan sekiranya calon TYDP dipilih kelak, adakah mereka bersedia meletak jawatan atau mengambil cuti dalam parti politik.

Setakat ini, dua nama dicalonkan untuk dipilih sebagai TYDP, iaitu Ahli Parlimen Pontian yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dan Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

“Peletakan jawatan di dalam parti amat mustahak agar jawatan TYDP ini dilihat benar-benar bebas daripada pengaruh kepartian, bersikap adil dan dapat menumpukan perhatian terhadap isu-isu di Dewan serta menguatkuasakan peraturan mesyuarat tanpa sebarang ketakutan atau kepentingan parti,” tambahnya.

Bersih 2.0 turut menuntut agar YDP dan TYDP juga dilantik daripada kalangan mereka yang tiada rekod jenayah atau rasuah dan berintegriti.

Kedua-dua calon TYDP ini juga, katanya, perlu mengemukakan kerangka dan isu-isu reformasi Parlimen yang akan mereka bawa sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Bersih 2.0 juga menegaskan, pejabat YDP dan TYDP bukanlah penjaga pintu kepada eksekutif untuk menahan usul atau rang undang-undang, atau mengehadkan ucapan wakil rakyat, terutamanya pembangkang.

“Jawatan tersebut perlu dilaksanakan dengan adil dan perlu meraikan suara wakil rakyat yang terdiri daripada berbilang parti.

“Wakil-wakil rakyat yang berada di situ bertujuan membawa hasrat rakyat dan permasalahan polisi negara untuk dibahaskan serta diambil tindakan oleh eksekutif,” katanya.

Justeru, sempena ulang tahun Parlimen ke-62 hari ini, Bersih 2.0 mahu melihat sistem demokrasi lebih matang dan Parlimen bergantung kepada kepimpinan pejabat YDP Dewan Rakyat untuk memastikan suara wakil rakyat didengari dan tidak dikesampingkan.

“Selain daripada bersikap adil, YDP dan TYDP juga perlu dilantik daripada kalangan mereka yang tiada rekod jenayah atau rasuah dan berintegriti,” katanya.

Satu isu yang membimbangkan Bersih 2.0 ialah pencalonan Ahmad susulan kes yang dikaitkan dengan beliau dan masih berjalan di mahkamah.

Ahmad dituduh di mahkamah di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2021.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/reformasi-parlimen-lantik-yang-dipertua-timbalan-dengan-semangat-rentas-parti-bersih-20-319155

BACA JUGA : BID meningkat kerana kuarantin di rumah, kata pakar kesihatan